31 July 2009

Batal perhimpunan, perarakan ISA

KUALA LUMPUR 30 Julai - Polis hari ini sekali lagi mengingatkan semua pihak yang merancang menyertai perhimpunan dan perarakan besar-besaran di ibu negara Sabtu ini, supaya membatalkan hasrat masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) berkata, ini kerana perhimpunan tersebut yang dianjurkan oleh dua kumpulan tertentu boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, malah siasatan pihaknya mengenal pasti wujud unsur-unsur provokasi antara dua kumpulan terbabit yang mempunyai agenda berbeza.

Tegasnya, perhimpunan itu juga bercanggah dengan undang-undang negara kerana sehingga kini polis tidak menerima sebarang permohonan.

"Walaupun penganjur kedua-duanya menyatakan perhimpunan dan perarakan diadakan secara aman, tetapi boleh menggugat ketenteraman.

"Jika hasrat berhimpun dan berarak diteruskan, polis bimbang keadaan akan menjadi tegang kerana melibatkan jumlah peserta yang begitu ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perhimpunan itu juga bakal mengundang kesulitan kepada semua pihak terutamanya warga kota kerana kesesakan lalu lintas.

"Rezeki para peniaga akan terjejas selain membawa imej negatif kepada pelancong di negara kita," ujar beliau.

Perhimpunan itu melibatkan Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), yang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu ISA dikekalkan.

GMI telah menyeru orang ramai menghadiri perhimpunan dikenali sebagai Perhimpunan 100,000 rakyat.

Antara lokasinya ialah Masjid Jamek, Kompleks Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong mendesak supaya ISA dihapuskan.

Pada masa yang sama, Perwaris dan Perkasa pula merancang mengadakan perhimpunan di Padang Merbok, Pasar Seni dan Masjid Negara bagi menyokong agar ISA dikekalkan. - Utusan

No comments:

Post a Comment