KUANTAN, 21 Julai (Bernama) -- Tindakan seorang pengusaha kedai emas membiarkan kenderaannya tidak berkunci untuk membeli rokok mengundang padah apabila beliau kehilangan wang tunai berjumlah RM85,000, pada Selasa.
Sebelum kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, Mohd Yusof Mohamad, 47, mengeluarkan wang tunai berjumlah RM25,000 dari sebuah bank di Jalan Abdul Aziz di sini untuk tujuan perniagaan.
Menceritakan detik malang itu, Mohd Yusof berkata pada masa sama beliau turut menyimpan wang tunai sebanyak RM60,000 di dalam poket seluarnya.
"Selepas mengeluarkan wang di bank itu, saya telah mencampurkan kesemua wang di dalam satu beg plastik dan menyimpan di bawah tempat duduk bahagian pemandu kereta sebelum ke kedai emas untuk mengambil anak saya," katanya ketika ditemui di sini, Selasa.
Mohd Yusof berkata apabila tiba di kedai emasnya, beliau keluar dari kereta yang tidak dimatikan enjin untuk membeli sekotak rokok di kedai berhampiran sebelum menghantar anaknya ke sekolah.
"Namun dalam masa lebih kurang lima minit itu, anak saya beritahu ada seorang wanita membuka pintu kereta dan saya sempat melihat wanita itu lari ke arah sebuah kereta Toyota Camry yang juga dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita lain," katanya.
Mohd Yusof berkata beliau kemudian pergi melihat beg plastik yang diletakkan di dalam keretanya, tetapi ia telah tiada.
Beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Pemangku Supt Zulkifli Taha mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment