18 June 2009

Tujuh maut bantahan bertukar ganas di Iran

TEHERAN - Badan pembuat keputusan tertinggi di Iran, Majlis Syura Ulama semalam bersedia melakukan kiraan semula keputusan undi pilihan raya Presiden yang mencetuskan bantahan terbesar sejak Revolusi Islam pada 1979.

Jurucakapnya, Abbasali Kadkhodai berkata, Majlis Syura Ulama bersedia melakukan kiraan semula undi terhadap peti undi yang dipertikaikan oleh beberapa calon dengan kehadiran wakil-wakil mereka.

"Ada kemungkinan berlaku beberapa perubahan di segi jumlah undi selepas kiraan semula dilakukan," katanya.

Rakyat Iran yang marah dengan kekalahan Mir Hossein Mousavi dalam pilihan raya itu merancang untuk meneruskan bantahan walaupun tujuh orang terbunuh dalam keganasan antara penyokong Mir Hossein dengan militia yang setia kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Seorang lagi pencabar Mahmoud, Mehdi Karoubi mahu pilihan raya diadakan semula berbanding kiraan semula undi.

Konfrontasi akibat pertikaian mengenai keputusan itu dijangka meningkat selepas penyokong Mahmoud membayangkan untuk turut mengadakan tunjuk perasaan di Teheran.

Laporan televisyen Iran menyatakan anasir-anasir yang terlibat dalam kekacauan selepas pilihan raya itu sudah ditangkap kerana memiliki bahan letupan dan senjata.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama turut bimbang mengenai kekacauan yang berlaku selepas pilihan raya di Iran.

- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment