15 June 2009

Tahanan mati dalam lokap

PETALING JAYA 14 Jun - Seorang suspek kes pecah rumah yang ditahan Rabu lalu ditemui mati dalam sel lokap di Balai Polis Damansara Damai di sini pagi ini.

Lelaki berkenaan, A. Gnanapragasam, 52, ditemui mati dalam keadaan terbaring di tandas sel pada pukul 8.05 pagi oleh seorang pengawal lokap yang sedang membuat rondaan.

Si mati, seorang pekerja pendawaian ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Ketika ditahan awal pagi Rabu lalu, suspek sedang memecah masuk seorang diri sebuah rumah di Sungai Buloh dekat sini.

Polis juga berjaya merampas beberapa barangan curi bersama-sama mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, sebaik sahaja si mati ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, pengawal berkenaan menghubungi ambulans.

Bagaimanapun, katanya, pihak hospital mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia.

Menurut beliau, empat lagi tahanan yang berada di sel berkenaan sedang tidur dan tidak menyedari kejadian itu.

"Setakat ini, kita telah mengambil keterangan empat tahanan berkenaan dan semua anggota yang bertugas di balai (polis) tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Arjunaidi, si mati yang sepatutnya tamat tempoh tahanan reman hari ini memiliki sembilan rekod lampau yang kebanyakannya membabitkan kes dadah di Lembah Klang.

Lelaki itu juga, katanya, pernah ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor.

"Dia (si mati) sebelum ini pernah ditahan kerana mengedar dan memiliki dadah," ujarnya lagi.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas lelaki itu akan dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) esok dan setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).

Malah, katanya, pemeriksaan awal mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa.

"Saya meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan yang sewajarnya akan dijalankan.

"Kita tidak pernah melindungi apa-apa dan biar undang-undang yang menentukan segala-galanya," tegasnya.

Ditanya mengenai dakwaan ahli keluarga mengenai kesan lebam pada pipi kanan si mati, Arjunaidi berkata: "Saya sudah bagi tahu, waktu dia dalam lokap lagi. Kalau tidak berpuas hati, sila buat laporan. Kita akan siasat. Kenapa waktu itu tak buat laporan?.

Gnanapragasam yang tinggal di Jalan Ipoh, Sentul, mempunyai enam anak berusia antara 16 hingga 22 tahun.

Sementara itu, anak si mati, G. Teresa, 20, ketika ditemui di bilik mayat PPUM hari ini berkata, mereka hanya dimaklumkan mengenai kematian bapanya kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

"Kali terakhir saya berbual dengan bapa saya ialah pada Selasa lalu, kira-kira pukul 2 petang.

"Pada malam keesokan hari, apabila bapa saya tidak pulang-pulang, kami sekeluarga mula mencarinya di merata tempat termasuk hospital," katanya.

Menurutnya lagi, apabila usaha itu tidak berhasil, mereka cuba memeriksa di sebuah balai polis berhampiran dan dimaklumkan bapanya ditahan polis.

"Saya sempat melawat dia pada Jumaat lalu dan ketika itu, saya dapati ada kesan lebam di pipi kanannya dipercayai dipukul," ujarnya.

- Utusan

* Mati lagi...

No comments:

Post a Comment