BANGKOK - Sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang dua sami Buddha di Yala pagi semalam dan menyebabkan salah seorang daripada mereka terbunuh. Seorang pembonceng motosikal bersenjatakan raifal AK-47 menembak kedua-dua sami itu di daerah Muang kira-kira jam 6.15 pagi waktu tempatan.
Phra Sombat Sriwusan, 59, mati serta-merta di tempat kejadian dan Phra Thawatchai Chaiman, 23, dilaporkan cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Yala.
Serangan terbaru di wilayah Yala itu meningkatkan ketegangan di selatan Thailand selepas serangan kejam jemaah masjid di Narathiwat pada Isnin lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Setiausaha Perdana Menteri Thailand, Panitan Wattanayagorn berkata kerajaan bersedia menghantar 1,440 anggota keselamatan sukarela untuk menjaga keamanan di wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla.
Kerajaan dilaporkan menyediakan peruntukan 400 juta baht (RM41 juta) untuk menyediakan pasukan sukarela itu.
Thailand kini bersedia untuk menggiatkan projek pembangunan di wilayah selatan bagi mengurangkan kejadian serangan yang mengorbankan nyawa penduduk awam.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment