16 June 2009

Pemimpin Iran arah siasatan


TEHERAN - Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei semalam mengarahkan satu siasatan dilakukan berhubung dakwaan penipuan dalam pilihan raya presiden yang berlangsung Jumaat lalu.

Stesen televisyen kebangsaan melaporkan beliau mengarahkan Majlis Pelindung untuk meneliti dakwaan Mir Hossein Mousavi setelah beliau diumumkan kalah kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada Sabtu.

Keputusan pemimpin itu dilakukan berikutan sepucuk surat rayuan yang dihantar oleh Mir Hossein kepada Majlis Pelindung sebelum bertemu dengan beliau kelmarin.

Siasatan oleh majlis yang dianggotai 12 ahli itu tidak mempunyai peraturan bertulis dan masih tidak jelas bagaimana ia akan berjalan atau tempoh masa yang diambil bagi melakukan siasatan.

Keputusan pilihan raya itu perlu disahkan oleh majlis syura yang terdiri daripada ulama.

Tiga pencabar termasuk Mir Hossein mendakwa Mahmoud melakukan penipuan.

Sebelum ini, Mir Hossein didakwa akan memenangi pilihan raya tersebut namun kekalahannya menyebabkan sejumlah penyokongnya menyertai protes sejak Sabtu lalu yang disifatkan yang terburuk sejak sedekad lalu.

Sehingga semalam ratusan ribu penduduk tempatan menyertai tunjuk perasaan di Teheran.

Mir Hossein dijangka menghadiri bantahan jalanan buat kali pertama setelah beberapa permohonan permit untuk mengadakan tunjuk perasaan ditolak Kementerian Dalam Negeri.

Penunjuk perasaan membakar sejumlah harta awam dan bertempur dengan polis antirusuhan manakala seramai 3,000 pelajar Universiti Teheran turut berhimpun bagi menyuarakan rasa tidak puas hati.

Mir Hossein yang pernah menjadi perdana menteri pada 1980-an turut mengugut untuk menyertai protes di makam pengasas revolusi Islam 1979, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

- AP

No comments:

Post a Comment