KUALA LUMPUR 11 Jun - Bekas Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali (gambar) yang dilihat pelbagai pihak sebagai penyokong kuat idea-idea Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu berkuatkuasa hari ini.
Penyandang jawatan Bendahari, Dr. Hatta Ramli pula dikekalkan manakala Setiausaha Majlis Syura, Idris Ahmad dilantik sebagai Ketua Penerangan menggantikan Datuk Mahfuz Omar yang menang jawatan Naib Presiden pada pemilihan minggu lalu.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pula mengambil alih jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya yang dikosongkan oleh Mustafa.
Pelantikan berkenaan diumumkan oleh Abdul Hadi selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pas Pusat bagi penggal 2009-2011 di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi turut mengumumkan dua bekas Naib Presiden yang tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden minggu lalu, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu masing-masing dilantik sebagai ahli jawatan kuasa (AJK) Pas Pusat.
Husam sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan Erdogan atau pro-Anwar.
Pada peringkat Pesuruhjaya Pas negeri, semua penyandang jawatan dikekalkan kecuali Terengganu dan Perak yang mendapat Pesuruhjaya baru masing-masing, Datuk Harun Taib dan Abu Bakar Husin.
Mengenai pelantikan Mustafa, Presiden Pas itu berkata, ia adalah bagi memanfaatkan pengalamannya untuk memantapkan parti.
"Beliau berpengalaman dalam pentadbiran parti dan saya mahu memantapkan pentadbiran Pejabat Agung Pas, selama ini beliau banyak tumpu kepada Harakah (sebagai Pengerusi)," katanya.
Ditanya kewajaran melantik Husam dan Mohamad hanya sebagai AJK walaupun merupakan pemimpin kanan parti sebelum ini, Abdul Hadi berkata, mereka akan diberi peranan yang penting untuk merancang strategi dan program parti.
"Saya percaya semua akan terima, seperti mana saya sebut dalam penggulungan di muktamar bahawa yang berlaku adalah pemilihan bukannya cantas mencantas," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment