25 June 2009

Mesin karaoke ciplak lagu

KAJANG: Akibat memiliki mesin karaoke mengandungi lagu dicuri, seorang peniaga wanita yang aktif menciplak ribuan lagu penyanyi tempatan dan luar negara bakal berhadapan tindakan denda minimum RM30 juta.

Suspek yang berusia 41 tahun dikesan membawa masuk peralatan karaoke termoden yang dipercayai diimport dari China sebelum memuatkannya dengan lagu dan dijual kepada pengusaha pusat ‘karaoke jamban’ sekitar daerah ini.

Suspek yang juga pemilik sebuah kedai elektrik dikesan menjual setiap mesin karaoke terbabit kepada pengusaha karaoke jamban dengan harga serendah RM2,900 setiap unit tanpa perlu membayar royalti kepada syarikat rakaman.

Ketua Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor (KPDNKK), Ahmad Md Isa, berkata kegiatan mencuri lagu untuk dimuatkan dalam mesin karaoke itu dikesan selepas pihaknya mendapat maklumat berhubung sebuah premis yang menjual mesin berkenaan.

Menurutnya, susulan itu sepasukan anggota KPDNKK Kajang bersama pihak Industri Rakaman Malaysia (RIM) melakukan serbuan mengejut di premis di Bangi itu pada jam 2 petang, kelmarin.

“Tindakan diambil selepas RIM membuat aduan sebelum pemeriksaan dilakukan di sebuah kedai menjual beberapa peralatan elektrik di pusat beli-belah Bangi Utama, Bandar Baru Bangi di sini.

“Hasil risikan sebelum ini mendapati kedai terbabit menjual mesin karaoke berkomputer yang ditawarkan dengan harga RM2,900 seunit yang boleh memuatkan sehingga 20,000 lagu,” katanya.

Menurutnya, selepas pemeriksaan, pihak berkuasa mendapati mesin karaoke terbabit memuatkan pelbagai lagu karaoke artis Melayu dan Inggeris berjumlah 15,000 salinan yang tidak sah atau dicetak rompak.

“Semua peralatan mesin berkenaan termasuk mesin karaoke disita dan nilai sitaan berkenaan dianggarkan berjumlah hampir RM80,000,” katanya.

Menurutnya, rampasan terbaru ini dianggap satu kejayaan berikutan terdapat banyak kedai peralatan elektrik yang menjual mesin karaoke berkomputer yang mengandungi lagu karaoke yang tidak sah atau tidak dilesenkan tuan punya hak cipta.

“Jika disabitkan, pemilik kedai elektrik berkenaan boleh didenda minimum RM2,000 tiap-tiap salinan lagu atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Hak Cikpta 1987,” katanya.

- Mymetro

1 comment:

  1. Tidak terfikir? Kenapa lagu ciplak rompak ni mendapat sambutan?? Yes! sebab harganya murah. Yg original (kononnya) terlalu mahal. Bahkan boleh digolong sebagai harga TAK patut. Lihat saja dulu dizaman era Al-Arqam bertapa lagu2 nasyid mereka boleh didapati dgn harga 5-6 Rm je. Maksudnya below RM10.00 lah. Sekarang? kalau harga dibawah Rm20.00 tu sudah dikira bagus sangat dah..sedangkan qualitinya? 2x5 je

    ReplyDelete