01 May 2009

Tentera British tamatkan operasi ketenteraan di Iraq

LONDON 30 April - Perdana Menteri Britain, Gordon Brown hari ini mengumumkan pasukan tentera United Kingdom (UK) telah menamatkan operasi tempur di Iraq.

Beliau membuat pengumuman itu selepas menemui Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki di sini.

"Hari ini menandakan babak penutup misi tempur di Iraq. Bendera Briged Berperisai 20 akan diturunkan dengan berakhirnya rondaan pasukan tempur Britain di Basra dan pasukan bersenjata kita bersiap sedia untuk berundur," kata Brown.

Di Basra, tentera Britain mengadakan upacara penghormatan bagi memperingati 179 rakan-rakan mereka yang terkorban semasa perang di Iraq.

Dalam pertemuan mereka, Brown dan Al-Maliki membincangkan isu keselamatan dan pembangunan ekonomi sebelum askar UK memulakan pengunduran terakhir selepas menyertai kempen ketenteraan selama enam tahun di Iraq.

Mereka membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengukuhkan ekonomi Iraq yang goyah.

Al-Maliki dan menteri Iraq yang lain termasuk Menteri Minyak, Hussain al-Shahristani dijadual menghadiri persidangan pelaburan di London bersama-sama wakil 250 syarikat, antaranya Royal Dutch Shell PLC dan Rolls Royce.

"Hari ini menandakan hari bersejarah dalam perhubungan UK-Iraq, ketika kita menamatkan satu fasa perhubungan itu dan memulakan satu fasa lain melibatkan perhubungan yang stabil dan mempunyai asas lebih luas," kata Setiausaha Perniagaan Britain, Peter Mandelson kepada stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Menurut beliau, Britain kini boleh memainkan peranan besar dalam membawa pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi kepada rakyat Iraq setelah terlibat membawa demokrasi ke negara itu.

Askar Britain sedang menantikan arahan terakhir untuk memulakan pengunduran dari sebuah pangkalan dekat Basra.

Brown telah menyatakan, sebahagian besar daripada 3,700 askar Britain akan meninggalkan Iraq selewat-lewatnya 31 Julai ini. - AP

No comments:

Post a Comment