KUALA LUMPUR 5 Mei – Sebagai reaksi segera kerajaan, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelain Mersat ditugaskan khas untuk mengkaji penularan gejala lumba haram motosikal atau rempit yang semakin menjadi-menjadi di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, timbalan beliau itu diarahkan mencari punca dan mencadangkan kaedah yang perlu agar kegiatan berkenaan dapat ditamatkan terus.
Jelas beliau, dalam usaha ke arah berkenaan, timbalannya itu perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak dan kementerian lain agar satu pendekatan bersama dapat dicapai.
Timbalannya itu juga kata Hishammuddin, perlu menyerahkan laporan kepada beliau agar pihak kementerian dapat merumuskan penyelesaian terbaik isu itu.
“Amanah sebulat-bulat kepada timbalan saya untuk membuat siasatan dan dapat maklum balas agar saya dapat pertimbangkan apa jua tindakan yang terbaik untuk tanganinya,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini hari ini.
Hadir sama dua timbalannya iaitu Datuk Wira Abu Seman Yusof dan Jelaing serta Ketua Pengarah JPAM, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid.
Beliau mengulas kegiatan lumba haram yang kini semakin berleluasa hingga membabitkan remaja yang masih bersekolah pada usia 15 tahun.
Pembabitan remaja seawal usia itu dikesan polis dalam operasi besar-besaran mencegah aktiviti lumba haram sejak Sabtu lepas dan dipandang serius oleh Pasukan Trafik Bukit Aman.
Apa yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan kumpulan pelumba haram kini bertindak ganas seperti yang menimpa seorang mekanik di Kuantan baru-baru ini yang dibelasah hingga mati kumpulan seperti itu.
Menurut Hishammuddin, timbalannya itu memegang tanggungjawab khusus mengenai isu lumba haram yang semakin hari semakin sukar dikawal.
Beliau juga mengakui bahawa gejala lumba haram kini sudah tidak mampu dikekang sepenuhnya oleh polis semata-mata dan bukan satu pihak sahaja yang perlu terbabit dalam pembanterasan itu tetapi perlu ada campur tangan beberapa kementerian.
“Dalam hal ini memang kita perlu kerjasama dengan kementerian-kementerian lain kerana gejala ini tidak boleh hanya ditangani oleh pihak polis di bawah Kementerian Dalam Negeri,” katanya
Tambah Hishammuddin, dalam usaha untuk memastikan gejala lumba haram itu dapat dihapuskan sepenuhnya, beliau menyokong sebarang langkah bagi meminda Akta Pengangkutan Jalan yang memberikan kuasa menahan kepada penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kalau ia boleh membantu kita menanganinya, kita akan setuju,” kata beliau.
Bagaimanapun beliau memberikan jaminan bahawa pihaknya tidak akan lepas tangan dan berjanji akan berkerjasama dengan pelbagai pihak untuk mencari penyelesaian muktamad isu itu. _ Utusan
* Mengikut rekod tidak ada satu pun masalah sosial yang berjaya BN kurangkan.
No comments:
Post a Comment