05 May 2009

Hanya 7 sampul bidaan Toyota Camry diterima


Tempoh mungkin dilanjut jika ada kenderaan tak dibida

IPOH: Sebanyak tujuh sampul surat tawaran tender bagi Toyota Camry 2.4V yang digunakan bekas Exco kerajaan negeri dikembalikan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini sebaik tempoh tender yang dibuka pada 28 April lalu ditutup tengah hari semalam.

Ketua Penolong Setiausaha (Bahagian Khidmat Pengurusan), Shamsuzaman Sulaiman, berkata walaupun hanya tujuh sampul surat diterima, ia tidak bermakna tujuh kereta saja yang ditender.

"Setakat ini 40 dokumen tender sudah dikeluarkan. Saya belum menyemak tujuh sampul surat itu untuk menentukan jumlah bidaan kerana setiap dokumen mungkin membida satu atau lebih kereta.

"Kenyataan rasmi mengenai bidaan akan dikeluarkan 6 Mei ini (esok) selepas jawatankuasa khas meneliti semua dokumen yang dikembalikan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, kereta bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Speaker, V Sivakumar tidak dilelong kerana masih digunakan oleh kedua-dua mereka.

Shamsuzaman berkata, jawatankuasa itu mungkin melanjutkan tempoh tender jika ada daripada 14 kereta berkenaan tidak dibida.

Katanya, kerajaan negeri juga mungkin mengeluarkan tawaran tender baru jika dua kereta yang masih digunakan Mohammad Nizar dan Sivakumar dikembalikan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, sebelum ini dilaporkan berkata kereta bernombor pendaftaran AGS10 ketika ini digunakan secara tidak sah oleh Mohammad Nizar.

Kenyataan tender yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyatakan kenderaan berkenaan boleh dibeli secara pukal atau seunit pada harga rizab RM148,000 sebuah.

Antara kereta dilelong ialah yang menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606, semuanya didaftarkan pada 9 Januari lalu.

Semua kenderaan itu baru digunakan antara satu hingga dua bulan dan masih dalam tempoh jaminan tiga tahun oleh syarikat pengeluar.

Kenderaan berkenaan juga mempunyai nombor pendaftaran orang kenamaan, cermin gelap bernilai RM2,000, perbatuan rendah dan tidak pernah kemalangan. _ Bharian

* Pakatan Rakyat perintah Malaysia, Abdul Rahman boleh intai kerja sebagai penjual kereta terpakai.

No comments:

Post a Comment