IPOH, 7 Mei (Bernama) -- Kekecohan berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak apabila Speaker V.Sivakumar enggan memulakan persidangan selagi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, enam anggota exco dan tiga anggota Bebas tidak meninggalkan dewan.
Sebaik sahaja mengambil tempatnya pada 10 pagi, Sivakumar mengarahkan 10 anggota dewan itu keluar dengan alasan bahawa keanggotaan mereka telah digantung.
Bagaimanapun Zambry dan sembilan yang lain tidak mempedulikan arahan Sivakumar itu.
Kekecohan itu menyebabkan istiadat perasmian oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah tidak dapat dimulakan, dengan baginda menunggu di Kamar Diraja.
Bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta bekas anggota exco masih duduk di kerusi Menteri Besar dan Exco manakala Zambry serta Exco yang baru berada di sebelah tempat pembangkang.
Zambry kemudian berdiri dan membuat usul untuk memecat Sivakumar selaku Speaker, dan ini disokong oleh 27 anggota BN dan tiga anggota Bebas dengan cara mengangkat tangan.
Bagaimanapun Sivakumar berkata beliau menolak usul itu dan menjelaskan bahawa Zambry tidak boleh mengemukakan usul kerana telah digantung.
Keadaan terus kecoh dengan anggota Dewan saling mencemuh antara satu sama lain.
Zambry kemudian mengulangi membuat usul yang sama dan sekali lagi disokong oleh anggota BN dan tiga Bebas.
Sivakumar mengarahkan Bentara Dewan supaya membawa keluar 10 anggota itu tetapi Zambry berkata bahawa Sivakumar kini telah dipecat.
Pada 10.48 pagi, Timbalan Speaker, Hee Yit Fong, mengambil alih tugas mempengerusikan persidangan dari tempat duduk pembangkang.
Zambry kemudian mengusulkan supaya bekas Adun Sungkai, Datuk R.Ganesan, dilantik sebagai Speaker yang baru dan ini disokong oleh anggota BN dan Bebas.
Keadaan terus kecoh dengan Sivakumar masih terus bertindak sebagai Speaker.
-- BERNAMA
* Akan tercatat dalam sejarah
No comments:
Post a Comment