13 May 2009

Dicekup ketika minta minuman


GOMBAK: Tindakan seorang lelaki dipercayai peragut meminta minuman daripada penduduk kampung selepas keletihan melarikan diri daripada dicekup pihak berkuasa membawa padah apabila dia ditangkap dan diserahkan kepada pihak berkuasa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang di Kampung Changkat di sini, suspek berusia 20-an yang dipercayai keletihan menghampiri sebuah rumah bagi mendapatkan minuman.

Menurut seorang penduduk yang dikenali Ayie, 35, suspek memasuki kampung itu selepas dikejar anggota polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan ragut oleh dua lelaki di kawasan berhampiran.

“Berikutan terdapat banyak simpang dan laluan keluar masuk ke kampung, polis meminta bantuan orang kampung bagi mengesan suspek.

“Penduduk kemudian dimaklumkan mengenai saiz tubuh suspek dan warna pakaian yang dipakai bagi memudahkan kami mengesan penjenayah itu,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira jam 3 petang, motosikal yang dinaiki dua suspek hampir bertembung dengan sebuah kenderaan di simpang tiga kampung berkenaan.

“Penduduk yang menyedari kejadian itu terus mengepung kedua-dua suspek, tetapi mereka berjaya menyembunyikan diri, namun seorang daripada mereka yang terlalu haus dan letih sebelum diberkas ketika cuba meminta air daripada sebuah rumah penduduk setempat,” katanya.

Difahamkan peragut terbabit sebelum itu bersama rakannya meragut seorang individu di lokasi berhampiran dan disedari dua anggota polis yang kebetulan meronda di situ.

Bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa, kedua-dua suspek yang menunggang motosikal jenis Suzuki Smash itu memasuki laluan kampung berkenaan.

Kira-kira dua jam selepas seorang daripada peragut itu ditahan, rakannya dilihat keluar dari satu kawasan semak dalam keadaan pucat lalu disapa orang kampung yang kebetulan melintasi kawasan itu.

“Sebaik ditegur, suspek mula menggelabah dan tidak tentu hala sebelum penduduk memberkasnya.

“Ketika diberkas, suspek didapati memakai dua helai baju dipercayai untuk ditukar setiap kali selepas melakukan ragut bagi mengelakkan dikesan dengan mudah,” kata Ayie.

Kedua-dua suspek yang diberkas dibawa ke pusat Unit Kawalan dan Keselamatan Kampung Changkat (UKKKC) sebelum dibawa polis ke Balai Polis Gombak.

- Metro

No comments:

Post a Comment