12 May 2009

Apakah Esok Berlaku Perebut di SUK?

KEBENARAN Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengesahkan Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar sah menjadikan politik Perak yang sejak semalam agak kebah kini bakal kembali tidak siuman semula.

Dengan penangguhan yang dibuat oleh Hakim Ramly Mohd Ali ini bermakna Nizar dan Exconya tidak mempunyai hak untuk memasuki pejabat menteri besar dan bangunan SUK hari ini. Rayuan bagi menangguhkan keputusan mahkamah tinggi itu dibuat oleh bekas Menteri Besar, Zambry Abdul Kadir.

Sehubungan penangguhan itu juga tindakan dan keputusan dibuat Nizar bersama Exco semalam yang menggantungkan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang juga tidak sah?

Dengan penangguhan itu Zambry dan Exconya sudah tentu akan meminta Nizar dan Exconya mengosongkan semula pejabat berkenaan yang baru dimasukkan Nizar dan exconya pagi tadi.

Jelas dengan perkembangan demi perkembangan ini politik Perak semakin tidak siuman lagi.

Janganlah esok akan berlaku perebutan di pintu masuk pejabat SUK. Pasukan polis perlu ditambah dan membuat kawalan ketat bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini akan berlaku.

Dari segi semangat meskipun keputusan semalam ditangguhkan namun hakikatnya dengan keputusan semalam meletakkan Nizar adalah menteri besar sah selagi tidak ada keputusan lain selepas ini. Pertanyaan untuk Sultan Perak, apakah baginda tidak terbuka hati untuk memanggil kedua pihak bagi menerima nasihat agar menyelesaikan kemelut itu dengan terbaik?

Pandangan dilontarkan Muhyiddin Yaasin untuk mencari pendekatan politik perlu diberi perhatian. Apakah dalam soal ini tidak ada formula bagi UBN dan Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan politik di Perak itu? Apakah kedua pihak terus mahu berlagak macam meow dan hukk hukkkk?

Apa yang boleh dilakukan oleh Sultan Perak sekiranya enggan mahu merestui pembubaran DUN seperti mana diminta Nizar ialah memanggil kedua kumpulan itu. Formula yang boleh dilakukan ialah melantik Nizar sebagai MB dan wujudkan jawatan timbalan menteri besar untuk Zambry Abdul Kadir. Manakala kedua Exco DAP boleh dilantik menjadi Exco kanan.

Mungkin formula ini tidak kekal tetapi sekadar menanti DUN Perak dibubarkan saja samada sebelum tamat tempoh penggal ke 12 ini ataupun dalam masa terdekat. Saya percaya kalau Sultan Perak berkenan memanggil kedua-duanya, semua pihak akan akur dan tunduk. Cubalah formula ini.

- Msomelayu

No comments:

Post a Comment