Wakil-wakil rakyat Perak dilarang membawa penyokong masing-masing "bagi mengelakkan sebarang kerumitan", demikian arahan terbaru yang dikeluarkan oleh setiausaha kerajaan negeri.
"Untuk mengelakkan sebarang kerumitan, Yang Berhormat Datuk, tuan-puan TIDAK DIBENARKAN membawa pemerhati. Segala kerjasama amat dihargai, terima kasih," arahan pejabat Datuk Abdul Rahman Hashim dipetik.
Dalam kad undangan kepada ADUN Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, turut disertakan aturcara majlis istiadat pembukaan rasmi penggal kedua persidangan DUN oleh Sultan Perak, Khamis ini.
Beliau menerima undangan tersebut melalui khidmat Poslaju pada 11.15 pagi ini, katanya.
Dalam kenyataannya, wakil rakyat DAP itu mempertikaikan arahan tersebut yang disifatkannya "tidak telus dan autokratik."
Ong juga berkata arahan itu satu percubaan menghalang orang ramai melihat sendiri perjalanan sidang tersebut.
Persidangan DUN Perak kali ini sangat genting untuk BN dan Pakatan Rakyat susulan krisis perebutan kuasa sejak Februari lalu.
Kedua-dua pihak mengakui menteri besar yang sah - Datuk Zambry Abd Kadir (BN) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pakatan) - dan tuntutan ini masih belum diputuskan di mahkamah.
Keadaan tidak menentukan dipercayai boleh menimbulkan suasana tegang dan penuh emosi di dalam dan luar bangunan DUN tersebut.
Polis semalam melarang orang ramai berhimpun dekat Bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan bangunan DUN, setelah penyokong Pakatan ingin tampil menyaksikan peristiwa penting itu dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pilihan mereka. _ Malaysiakini
No comments:
Post a Comment