02 April 2009

Polis nafi berat sebelah

TAIPING 1 April - Polis menafikan dakwaan bersikap berat sebelah apabila meluluskan lebih banyak permit ceramah kepada Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang berbanding pembangkang.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, sejak hari penamaan calon pada 29 Mac lalu sehingga hari ini, sebanyak 51 permohonan untuk permit ceramah politik diterima oleh polis.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 34 permohonan diterima daripada UMNO, 11 Pas, empat DAP dan dua Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, Ketua Polis Daerah (OCPD) Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak yang membuat semakan, bersetuju meluluskan 45 permohonan dan menolak enam daripadanya.

"Parti politik yang ditolak permohonannya itu boleh membuat rayuan kepada saya dalam tempoh 48 jam tetapi sehingga kini, tiada mana-mana pihak menghantar rayuan.

"Jadi, pihak pembangkang tidak boleh menuduh polis berat sebelah kerana mereka sendiri tidak pernah membuat rayuan.

"Malah kelulusan permit diberi lebih banyak kepada UMNO kerana parti ini paling banyak menghantar permohonan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming yang mendakwa polis bersikap tidak adil apabila meluluskan lebih banyak permit untuk ceramah politik kepada BN berbanding pembangkang.

Kor Ming juga tidak berpuas hati apabila polis melarang parti pembangkang menggunakan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan tindakan mempertikaikan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memberi perkenan kepada BN membentuk Kerajaan Perak dalam siri ceramah kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang.

Zulkifli berkata, polis melarang dua isu tersebut digunakan sebagai bahan kempen dan tidak boleh dibincangkan kerana perbicaraan yang belum selesai di mahkamah bagi mengelak timbul subjudis.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis menerima tiga laporan kes membabitkan pelbagai kesalahan dilakukan oleh penyokong parti politik dalam tempoh empat hari kempen berlangsung.

Beliau berkata, ia turut membabitkan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang disiasat mengikut Sesyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana.

Katanya, dua lagi kes masing-masing disiasat di bawah Seksyen 14 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kata-kata kesat serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan.

"Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung ketiga-tiga laporan itu,"katanya._ Utusan

No comments:

Post a Comment