27 April 2009

PM Tentukan Kedudukan BN Dalam P'raya Kecil Dun Penanti

JOHOR BAHARU, 27 April (Bernama) -- Keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) akan bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Najib akan mengadakan perbincangan dengan Biro Politik parti yang dipengerusikannya dalam tempoh terdekat ini sebelum mengambil keputusan tentang perkara itu.

"Sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno, Perdana Menteri akan berbincang dengan Biro Politik dalam tempoh terdekat ini dan akan membuat keputusan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di Plaza Angsana di sini, Isnin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.

Kerusi DUN Penanti itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin, 33 daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 16 April lepas.

-- LAGI

No comments:

Post a Comment