KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Para peguam yang mewakili A.Kugan meminta Pejabat Peguam Negara memutuskan bentuk tindakan seterusnya berikutan laporan siasatan jawatankuasa bebas Majlis Perubatan Malaysia berhubung dua laporan bedah siasat.
Peguam Gobind Singh Deo berkata Tan Sri Abdul Gani Patail telah memberi jaminan kepada keluarga mangsa bahawa jika terdapat perbuatan khianat berhubung kematian Kugan, orang yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin tetapi selepas empat bulan kematiannya, tiada seorangpun didakwa.
Katanya "serbuan" yang dibuat pegawai polis terhadap pejabat Dr Prashand N. Samberkar di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada Isnin di mana mereka telah merampas beberapa sampel yang diambil oleh ahli patologi semasa menjalankan bedah siasat ke atas mayat Kugan telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kes itu.
"Bedah siasat bebas yang dijalankan oleh Dr Prashand telah membuat kesimpulan bahawa kematian Kugan adalah disebabkan serangan tetapi serbuan yang dibuat polis baru-baru ini adalah sama dengan mencampuri urusan ahli profesional.
"Tindakan polis langsung tidak beretika walaupun mereka mendakwa "serbuan" itu dijalankan selepas memperoleh waran geledah dari mahkamah, Katanya dalam sidang media di Pejabat Bantuan Guaman di Kompleks Jalan Duta di sini hari ini.
Beliau berkata bedah siasat kedua yang dijalankan pada 25 Januari adalah bedah siasat persendirian dan polis sepatutnya mendapatkan kebenaran keluarga Kugan sebelum memindahkan sampel-sampel itu.
Gobind yang juga Anggota Parlimen Puchong berkata atas arahan ibu bapa Kugan, peguam pembantunya N.Surendren telah menulis surat kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin, semalam supaya segera memulangkan sampel-sampel itu atau mereka akan mendapatkan arahan mahkamah untuk mendapatkan semula sampel-sampel itu.
Bakri dipetik sebagai berkata rampasan itu adalah sebahagian daripada siasatan yang sedang berjalan dalam kes itu dan dijalankan atas arahan Pejabat Peguam Negara.
Gobind berkata jika Peguam Negara memutuskan untuk tidak mendakwa sesiapa dalam kes itu, beliau perlu meminta supaya satu inkues diadakan berhubung kematian Kugan di mana kedua-dua ahli patologi boleh dipanggil sebagai saksi bagi meneliti laporan siasatan itu.
"Bagi pihak keluarga Kugan, saya membuat rayuan terbuka kepada Peguam negara untuk mengarahkan satu inkues diadakan dan menyerahkan kepada koroner untuk memutuskan sama ada wujud perbuatan khianat berhubung kematiannya dan bukan membisu dalam kes ini," katanya.
Isnin lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican mendedahkan bahawa jawatankuasa khas yang dibentuk Kementerian Kesihatan membuat kesimpulan bahawa kematian Kugan disebabkan terdapat cecair dalam paru-paru dan radang pada otot hati yang berpunca daripada hentakan objek tumpul.
Kugan, 22, ditangkap atas disyaki terbabit dalam kecurian kenderaan pada 15 Jan tetapi mati lima hari kemudian di lokap balai polis USJ 8, Subang Jaya.
Sementara itu, Surendren berkata tindakan polis Isnin lalu telah menghalang Dr Prashand daripada menghantar sampel-sampel itu untuk pemeriksaan toksikologi di sebuah pusat perubatan di Australia.
Beliau juga mempersoal hasil siasatan jawatankuasa khas itu memandangkan mereka telah dinafikan hak untuk mengambil bahagian dalam inkuiri itu.
"Kami tidak pasti di bawah peruntukan mana jawatankuasa itu ditubuhkan di mana mereka tidak mempedulikan hasil siasatan yang dibuat oleh Dr Prashand bahawa Kugan mati akibat kegagalan buah pinggang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment