26 April 2009

Pas batal kerajaan perpaduan

BACHOK 25 April - Pas menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara parti itu dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berikutan pertukaran pucuk pimpinan negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, partinya sedang mengkaji semula cadangan tersebut dan memantau secara dekat pelaksanaan dasar kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada masa yang sama, beliau menolak dakwaan kononnya keputusan menarik balik cadangan tersebut dibuat kerana bimbang akan dicabar pada Muktamar Tahunan Pas Jun ini dan popularitinya yang semakin menurun sejak akhir-akhir ini.

"Sekarang tidak ada lagi (kerajaan perpaduan), cadangan ini dibuat masa Tun Abdullah Ahmad Badawi, kita kemukakan kerana kita melihat suasana pada masa itu.

"Buat masa sekarang, kita lihat dulu bagaimana perjalanannya (kerajaan di bawah Najib), ia bukan disebabkan pemilihan parti Jun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Kawasan Bachok di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa Badan Perhubungan Pas negeri yang tidak mencalonkan beliau untuk jawatan Presiden parti dipercayai berpunca daripada tindakannya yang mahu 'berbaik-baik' dengan UMNO demi perpaduan Melayu dan umat Islam.

Abdul Hadi berkata, keputusan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan BN dibuat pada sesi pemukiman pemimpin dan muktamar tahunan parti tersebut tahun lepas.

"Pada dasarnya, semua bersetuju, tetapi masa Abdullah jadi pemimpin dulu, ia bukan saja untuk Pas tetapi turut melibatkan pakatan pembangkang.

"Ahli Pas, dia akur dengan cadangan ini, sebab semua keputusan besar dibuat dalam muktamar tahunan, tetapi sekarang tidak ada lagi kerana Abdullah tidak lagi menjadi Perdana Menteri," katanya.

Beliau turut menafikan wujudnya dua kumpulan iaitu pro muzakarah dan pro pakatan dalam parti tersebut kerana semua keputusan dibuat secara bersama.

Mengulas mengenai negeri yang tidak mencalonkan beliau, Abdul Hadi berkata, ahli bebas untuk membuat keputusan dan memilih sesiapa saja kerana parti itu mengamalkan prinsip demokrasi.

"Terpulang kepada ahli untuk calon sesiapa saja, inilah demokrasi dalam Pas, saya tidak kisah tetapi kita dalam Pas tidak akan berkempen untuk jawatan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perubahan pimpinan UMNO, Abdul Hadi berkata, pihaknya tidak bimbang kerana sambutan terhadap Pas semakin meningkat pada masa kini.

Katanya, biarpun bertukar kepimpinan, beliau percaya dasar UMNO tidak akan berubah walaupun pendekatan yang diamalkan berbeza.

"Saya tidak boleh komen lagi sehingga ada pelaksanaan dasar baru, tetapi saya percaya dasar parti itu tidak akan berubah.

"Sehingga hari ini, sambutan rakyat terhadap pakatan pembangkang sangat positif hasil kemenangan pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang," katanya. _ Utusan

No comments:

Post a Comment