PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) --Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri diadakan pada 10 pagi, Jumaat ini di Istana Negara, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan.
Mengikut kenyataan Mohd Sidek yang dikeluarkan malam ini, Tuanku Mizan berkenan supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama-sama Najib menghadap Seri Paduka pukul 10 pagi esok untuk Abdullah menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri dan memohon perkenan melantik Najib sebagai Perdana Menteri yang baru.
Mohd Sidek berkata Perdana Menteri memaklumkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bahawa Seri Paduka telah memberi perkenan itu semasa beliau menghadap Tuanku Mizan sebelum mesyuarat mingguan Kabinet.
"Yang di-Pertuan Agong juga telah memberi perkenan supaya Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri diadakan pada jam 10 pagi, Jumaat, 3 April 2009 di Istana Negara," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment