05 April 2009

Dividen Bank Rakyat 15%


KUALA LUMPUR 4 April - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) hari ini menamatkan penantian lebih 780,000 ahlinya apabila mengumumkan pembayaran dividen asas sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2008.

Bank koperasi itu juga memberikan dividen khas sebanyak lima peratus kepada ahli-ahlinya yang telah menyertai Bank Rakyat bagi tempoh 10 tahun ke atas.

Bayaran dividen itu adalah secara tunai dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai Isnin ini kepada semua ahli yang layak.

Bank Rakyat sepatutnya mengumumkan dividennya pada 24 Februari lalu tetapi gagal berbuat demikian kerana belum mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengumuman dividen Bank Rakyat menjadi tarikan utama ahli-ahlinya kerana kadar yang diberikan tidak pernah mengecewakan. Bagaimanapun, jumlah dividen asas yang diumumkan hari ini lebih rendah berbanding 20 peratus bagi tahun kewangan 2007.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar ketika mengumumkan dividen itu berkata, Bank Rakyat sebenarnya mampu memberikan dividen lebih tinggi tetapi segala-galanya tertakluk kepada keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) terutamanya selepas mengambil kira situasi ekonomi semasa yang semakin terjejas.

''Bank Rakyat boleh memberikan dividen lebih tinggi daripada apa yang diumumkan tetapi BNM hanya meluluskan 15 peratus, jadi kita terimalah'' pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Bank Rakyat di sini hari ini.

Bank Rakyat itu telah mencipta sejarah dalam tempoh 55 tahun penubuhannya apabila berjaya meraih keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.234 bilion bagi tahun kewangan 2008, peningkatan RM405.5 juta atau 48.95 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kejayaan bersejarah itu adalah dua tahun lebih awal berbanding sasaran awal bank pada tahun 2010.

Noh Omar juga berkata, dengan pengumuman dividen asas itu, Bank Rakyat perlu memperuntukan RM320 juta untuk dibayar kepada 787,488 ahli individu manakala RM300 juta untuk 1,401 anggota koperasi manakala bayaran dividen khas pula membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk 179,000 ahli.

Bagi tempoh sehingga 28 Februari tahun ini, jumlah pemilikan saham ahli-ahli Bank Rakyat bernilai RM1.915 bilion manakala anggota koperasi pula RM79.66 juta.


* Simpan RM60,000.00 dapat RM9,000.00 Sebulan RM750.00 Mmm...

No comments:

Post a Comment