24 March 2009

Zaid Ibrahim Lancar Buku Saya Pun Melayu

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini melancarkan buku keduanya bertajuk "Saya Pun Melayu" yang mengisahkan perjalanan politiknya sebelum dan selepas dipecat daripada Umno.

Buku setebal 311 muka surat yang diterbitkan oleh ZI Publications Sdn Bhd itu merupakan sebuah catatan peribadi beliau yang turut mengupas pelbagai isu lain seperti Raja dan Perlembagaan, maruah serta ketuanan Melayu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.

Sebuah buku bertajuk "Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat" oleh Abdul Shukur Haron dan Annual Bakri Haron turut dilancarkan pada majlis berkenaan.

Pada sidang akhbar selepas itu, Zaid yang dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri acara yang dianjurkan parti pembangkang, berkata beliau akan mengumumkan hasratnya untuk memasuki mana-mana parti politik pada masa yang bersesuaian.

Ketika ditanya mengenai pelancaran buku itu yang hampir dengan tarikh perhimpunan Agung Umno yang berlangsung esok, Zaid berkata itu hanyalah kebetulan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment