SUNGAI PETANI 14 Mac – UMNO tidak mabuk kuasa sehingga sanggup bertindak merampas atau memonopoli kerusi yang diagihkan kepada parti-parti komponen untuk dipertandingkan dalam pilihan raya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, parti itu berpegang kepada prinsip permuafakatan, kerjasama dan semangat setia kawan yang dipersetujui bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu.
Katanya, dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, UMNO juga tidak menuntut kerusi itu walaupun menyedari hakikat kawasan berkenaan mempunyai pengundi majoriti yang terdiri daripada orang Melayu.
“Tiada desakan ambil kerusi Bukit Selambau. UMNO tidak mabuk kepada kuasa untuk monopoli kerusi kerana yang penting bukanlah kerusi.
“Namun, perkara yang lebih utama sekarang ialah kuasa. Tidak ada gunanya kalau tuntut kerusi tetapi BN tiada kuasa,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penyokong BN pada majlis ramah mesra dan pengumuman calon bagi kerusi DUN Bukit Selambau di Dewan Sekolah Menengah Teknik 2 Sungai Petani di sini hari ini.
Pada majlis tersebut Najib mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Datuk S. Ganesan sebagai sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil terbabit pada 7 April ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut Najib, soal kerusi juga bukan keutamaan memandangkan BN kini perlu mendapatkan keyakinan rakyat bagi membolehkan kerajaan terus mengekalkan kuasa dengan stabil.
“Kerusi kita boleh duduk di bawah atau di atas. Pun begitu, kerusi yang paling empuk untuk diduduk ialah kerusi yang ada kuasa BN.
“Jadi untuk memastikan kita ada kerusi sebegini, BN memerlukan sokongan daripada rakyat pelbagai kaum menerusi prinsip kerjasama parti-parti komponen dengan bekerja sebagai satu pasukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat diseru supaya bersama-sama mewujudkan keadaan politik yang stabil melalui tanda sokongan kepada kerajaan sedia ada.
Katanya, perkara tersebut penting lebih-lebih lagi ketika dunia kini sedang menghadapi kesan kelembapan ekonomi.
“Memang kita hendak menghadapi kemelut ekonomi dunia dan kesannya begitu besar kepada Malaysia.
“Oleh itu, bagi mendepani suasana ini, kita mesti melihat supaya politik di tanah air kita bukan saja politik yang stabil tetapi boleh meyakinkan orang luar luar dan pelabur. Kalaulah kemelut politik dapat dikurangkan, kita yakin boleh lalui situasi mencabar ini,” katanya.
Ditanya tentang persiapan menghadapi pilihan raya kecil tersebut, Najib berkata, BN Kedah telah mengatur gerak kerja bersama dengan parti-parti komponen dan ia telah berjalan serta-merta.
Kerusi DUN Bukit Selambau kosong setelah wakil rakyatnya, V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan pada 8 Februari lalu dan menghilangkan diri sehingga hari ini.
Berikutan kekosongan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 29 Mac dan jika ada pertandingan, pengundian dijalankan pada 7 April.
Sementara itu, ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama Timbalan Perdana Menteri di sekolah yang sama, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, adalah penting masyarakat memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Selambau. - Utusan
* Siapa percaya sila angkat tangan.
No comments:
Post a Comment