14 March 2009

UMNO tidak akan berpecah


KUALA LUMPUR 13 Mac - Dua calon Timbalan Presiden UMNO yang sedang bersaing rapat dalam merebut jawatan nombor dua parti yakin UMNO tidak akan berpecah selepas berakhirnya pemilihan tidak lama lagi.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, asas terhadap keyakinan itu ialah pemilihan pucuk pimpinan kali ini berlandaskan tahap setiakawan yang cukup tinggi sejak sekian lama di antara semua pemimpin yang bertanding.

"Saya sendiri tidak pernah risau kalah atau menang kerana menganggap pertandingan ini adalah antara seorang sahabat dengan sahabat lain yang kenal antara satu sama lain sejak sekian lama dan kami semua berasa mampu menyumbang ke arah kemajuan parti berdasarkan pengalaman dan portfolio masing-masing sebelum ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, semua pihak telah bersetuju untuk menghormati sistem demokrasi dalam UMNO dan menerima keputusan yang dibuat perwakilan dengan hati terbuka.

"Semua yang bertanding terutama untuk jawatan nombor dua dalam parti bukan orang baru, telah lama berpolitik dan faham yang menang jadi ketua dan mendapat penghormatan sewajarnya manakala yang kalah jadi pengikut yang setia dan memberi kerjasama.

"Kalau ada perpecahan sekalipun, ia masih mudah untuk diatasi kerana pemilihan kali ini bebas daripada elemen fitnah-memfitnah kerana semua tahu keperluan mendesak untuk UMNO mengembalikan semula zaman kegemilangannya selepas kekalahan teruk pada 8 Mac tahun lalu," jelas Mohd. Ali.

Kedua-dua mereka ditemui pada majlis pertemuan dan ramah mesra calon-calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO anjuran Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang turut menghimpunkan hampir 95 peratus daripada semua 66 calon yang bertanding bagi pemilihan UMNO penggal 2008 hingga 2011 itu.

Selain Muhyiddin dan Mohd. Ali, seorang lagi calon jawatan Timbalan Presiden UMNO ialah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang turut hadir pada majlis berkenaan.

Semalam, kaji selidik yang dijalankan Merdeka Center dengan kerjasama beberapa ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menunjukkan Muhyiddin; calon Ketua Pemuda, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; calon Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan calon Ketua Puteri, Datuk Shahaniza Shamsuddin menjadi pilihan utama.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, beliau berharap setiap undi akan diberikan secara bijaksana kerana hanya itu sahaja cara yang dapat membantu UMNO untuk kekal relevan dan terus diterima rakyat Malaysia selepas ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment