28 March 2009

Sabotaj dalaman Umno, pembangkang punca saya kalah - Khir

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo mendakwa kekalahannya dalam pemilihan jawatan kerusi Pemuda Umno kelmarin berpunca daripada perbuatan sabotaj pembangkang dan ahli parti sendiri.

Beliau mendakwa pembangkang sengaja menggembar-gemburkan isu wang tajaan yang disalurkan kepada Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Selangor yang kononnya wujud salah guna kuasa.

“Isu sedemikian hanya digunakan untuk memburukkan seseorang, tak lebih dari itu…boleh dikatakan saya mangsa keadaan,” kata bekas Menteri Besar Selangor ini ketika ditemui di PWTC hari ini.

Khir dan isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik yang juga bekas Yang Dipertua badan kebajikan itu adalah antara 11 saksi yang akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas ke atas Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan.

Jelasnya, tindakan sedemikian telah menyebabkan para perwakilan mengubah fikiran dan pendirian apabila perkara tersebut dibangkitkan terutamanya menjelang pemilihan parti.

“Saya pun tak jangka (kalah) sebab sampai di penghujungnya saya masih di depan.

“Saya ingat memang ada isu-isu yang telah dibangkitkan pembangkang untuk burukkan nama saya kerana mereka bimbang kalau saya menang… mereka cukup bimbang,” katanya.

Selain itu beliau turut tidak menolak perbuatan sabotaj seumpama itu turut dilakukan dari kalangan ahli-ahli Umno sendiri yang ingin menggagalkan hasratnya.

“Sama sahaja (sabotal), dua-dua pun sama…dari dalam ada, luar pun ada,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil apa-apa tindakan undang-undang berhubung perkara tersebut beliau berkata perkara tersebut tidak perlu.

“Tak perlu… Tuhan akan balas apa yang mereka buat,” katanya.

Sementara itu, Khir turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin.

Beliau menambah, Pemuda perlu terus bekerjasama bagi memastikan sayap parti terus kuat untuk masa depan parti. - Mstar

* Sangka berjaya kenakan Pakatan Rakyat Selangor, rupanya jatuh ke batang hidung sendiri.

No comments:

Post a Comment