28 March 2009

Polis Buru Dua Lelaki Terlibat Kes Samun, Rogol

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam tiga kes samun bersenjata dan jenayah seksual dalam tempoh tiga jam di sekitar ibu negara Khamis.

Ketua Pengarah Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata justeru itu satu pasukan khas ditubuhkan bagi memburu kedua-dua mereka yang dikategorikan sebagai penjenayah berbahaya dan kejam.

Beliau berkata dalam kejadian yang bermula kira-kira pukul 1.30 petang itu, dua lelaki berusia 30-an, bersenjatakan kapak dan parang menyamun sepasang kekasih serta dua lagi wanita dalam tiga insiden berasingan di Selayang, Taman Kok Doh dan Jalan Ipoh.

"Dalam kejadian pertama di Selayang, seorang gadis bersama teman lelakinya dan dua lagi rakan yang sedang berhenti rehat di sebuah perhentian didatangi dua lelaki bersenjatakan parang dan kapak.

"Setelah menyamun barangan berharga milik mereka, suspek kemudiannya mengheret gadis tersebut yang berusia 17 tahun ke dalam kereta mangsa sebelum melarikan mangsa bersama kereta tersebut ke sebuah tempat letak kereta di Taman Kok Doh dan merogolnya secara bergilir-gilir," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Ku berkata, selepas merogol mangsa, suspek kemudiannya bertindak melanggar sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita yang kebetulan melalui kawasan itu.

Katanya, wanita berkenaan terus keluar dari keretanya untuk memeriksa kerosakan, bagaimanapun dia turut disamun sebelum mangsa pertama ditinggalkan bersama wanita tersebut.

"Setengah jam kemudian, suspek yang mungkin masih tidak berpuas hati dengan habuan yang diperolehi, bertindak melanggar sebuah lagi kereta Perodua Myvi yang juga dipandu oleh seorang wanita di Jalan Ipoh.

"Mereka kemudiannya memecahkan cermin belakang kereta mangsa bagaimanapun hasrat mereka untuk menyamun gagal apabila tindakan mereka disedari oleh orang awam. Suspek melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton milik mangsa pertama," katanya.

Ku berkata sehubungan itu polis meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil di mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan hingga tertangkapnya kedua-dua suspek itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment