29 March 2009

PM: Calon Ramai Dibimbangi Tidak Gambarkan Sokongan Sebenar

KEPALA BATAS, 29 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bimbang kehadiran calon yang ramai bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah pada pilihan raya kecil 7 April ini tidak akan menggambarkan sokongan sebenar kepada calon yang menang kelak.

"Sampai 15 calon? Undi seorang sikit, seorang sekonyet (amat sikit - kata orang Kedah).

"Saya bimbang nanti yang menang itu mendapat undi yang tidak begitu menyakinkan sokongan kepadanya ...dibahagi kepada 15 orang," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan serentak 28 projek pembangunan persekutuan bagi kawasan Parlimen Kepala Batas di Dewan Milenium di sini, Ahad.

Ketika ditanya faktor yang menyebabkan terlalu ramai calon yang berminat bertanding di kawasan itu, Abdullah secara berseloroh berkata :" Saya fikir orang syok nak jadi wakil rakyat. Semua nak jadi wakil rakyat".

Penamaan calon bagi DUN BUkit Selambau hari ini menyaksikan seramai 15 calon bertanding di kerusi kawasan itu, yang dikosongkan berikutan peletakkan jawatan penyandangnya V. Arumugam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 8 Feb lepas. 13 daripadanya bertanding atas tiket Bebas manakala Barisan Nasional (BN) diwakili S. Ganeson dan PKR diwakili S. Manikumar.

Abdullah berkata kehadiran ramai calon Bebas yang dipercayai terdiri daripada anggota pembangkang jelas menunjukkan wujud masalah dalam pakatan pembangkang.

"Dalam Umno tidak boleh ada dua calon bertanding...ini menunjukkan disiplin kita (Umno) lebih baik," katanya.

Beliau menasihatkan pengundi di kawasan itu supaya memilih calon BN memandangkan parti itu mempunyai kemampuan untuk membawa kemajuan di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata dua projek mega di Pulau Pinang iaitu Penang Sentral dan Jambatan Kedua akan diteruskan tetapi pembinaannya mungkin tertangguh sedikit.

"Saya tidak dapat berikan masanya tetapi projek itu tidak terbengkalai, hanya tertangguh sedikit," katanya.

Mengenai projek pembangunan di kawasan luar bandar, Abdullah yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata, pembangunannya mesti seimbang dengan kawasan bandar dan segala kemudahan yang disediakan juga perlu setanding.

"Jangan anggap kemudahan di kawasan luar bandar adalah substandard dan saya tidak boleh terima mentaliti begitu kerana kita tidak boleh diskriminasi penduduk di kawasan itu," katanya.

Perdana Menteri berkata proses pemodenan melibatkan usaha memajukan kawasan bandar dan mewujudkan beberapa kawasan bandar baru di kawasan luar bandar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment