KUALA LUMPUR 15 Mac – Apakah akan ada pemimpin kanan UMNO dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti berhubung kesalahan politik wang?
Desas-desus mengaitkan beberapa calon jawatan tertinggi UMNO diarah berbuat demikian mula tersebar luas sejak seminggu lalu.
Bagaimanapun beberapa pemimpin parti termasuk calon-calon Timbalan Presiden mengambil sikap ‘membisu’ ketika ditanya kesahihan desas-desus tersebut.
Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pula ketika diminta mengesahkan tentang adanya calon jawatan tertinggi dipanggil memberi keterangan hanya berkata:
‘‘Kalau saya tahu pun, saya tak akan beritahu awak.’’
Ketika diajukan soal tersebut, Tengku Ahmad Rithauddeen pada mulanya memberi jawapan ringkas bahawa beliau tidak tahu berhubung desas-desus tersebut.
Namun, apabila didesak mengenai spekulasi meluas mengenainya, Pengerusi Lembaga Disiplin itu menjelaskan, walau apa pun keadaan, beliau tetap tidak akan membuat sebarang ulasan.
Beberapa lagi anggota Lembaga Disiplin yang cuba dihubungi turut mengelak daripada berbuat demikian.
Tanpa mengiya atau menafikan, mereka sebaliknya meminta Utusan Malaysia supaya mendapatkan komen daripada Tengku Ahmad Rithauddeen.
Desas-desus mengenai pemimpin UMNO diarah memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin bermula daripada hanya ‘cakap-cakap’ di kalangan pemimpin dan ahli UMNO.
Namun ia bertukar menjadi ‘berita’ dan dibicarakan secara terbuka sehingga tidak menjadi rahsia lagi.
Tidak hairanlah topik tersebut dikatakan menjadi berita paling hangat yang dibualkan di kalangan orang politik kebelakangan ini walaupun masing-masing tertanya-tanya siapa yang dimaksudkan itu.
Apatah lagi, dengan tarikh pemilihan parti akan berlangsung dalam tempoh sepuluh hari lagi, ‘cakap-cakap’ tersebut ternyata menambahkan lagi debaran kempen.
Malah, ‘suhu’ kempen pemilihan juga dikatakan semakin meningkat apabila berita yang disebar meluas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) seakan bertukar menjadi strategi kempen.
Ia menjadi bertambah hangat apabila laman-laman blog turut tidak ketinggalan mengupas mengenainya, namun sehingga kini tiada mana-mana pihak yang mengesahkan ‘cakap-cakap’ tersebut.
Utusan Malaysia difahamkan perkara itu telah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan UMNO baru-baru ini.
Sebelum ini pun, ada pandangan supaya calon yang didapati terlibat dengan politik wang hendaklah dijatuhkan hukuman sebelum pemilihan berlangsung.
Berikutan itu juga, daripada hanya surat tunjuk sebab, kini ‘cakap-cakap’ tentang perkara tersebut telah mula ‘berkembang’ menjadi satu kisah yang baru.
Difahamkan calon-calon yang terlibat hanya menunggu masa untuk mendapatkan surat makluman hukuman oleh Lembaga Disiplin.
Menguatkan lagi spekulasi tersebut apabila merujuk kepada keputusan kes Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad pada tahun 2005 yang lalu.
Ia diputuskan sehari selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu tampil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin.
Pemilihan UMNO pada penggal kali ini ternyata menarik perhatian umum apabila kecuali jawatan Presiden, kesemua jawatan di peringkat tertinggi termasuk tiga sayap menyaksikan pertandingan.
Bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara dua Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dengan Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.
Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden, lapan calon layak bertanding. - Utusan
* Parah dengan rasuah
No comments:
Post a Comment