PJ: Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata timbalan presiden parti nanti perlulah seseorang yang dapat menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan membantu beliau dalam waktu yang mencabar ini dalam aspek ekonomi mahupun politik.Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata perhimpunan agung ke-63 Umno hujung bulan ini menjadi perhatian utama orang ramai kerana ia membabitkan peralihan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya.
"Apa yang penting ialah untuk membenarkan perwakilan membuat keputusan kerana ini adalah pemilihan parti, dan bukannya pilihan raya umum," katanya pada satu persidangan berita selepas menghadiri majlis dialog berhubung pakej rangsangan ekonomi anjuran Majlis Ekonomi Melayu di Subang Jaya di sini.
Sementara itu merujuk kepada satu laporan akhbar hari ini sama ada seorang lagi Naib Presiden Unmo Datuk Seri Mohd Ali Rustam kini mendahului dalam saingan untuk jawatan timbalan presiden, Muhyiddin berkata: "Ada juga orang yang kata saya sedang mendahului".
Menjawab satu soalan mengenai reaksinya terhadap laporan itu, beliau berkata: "Ini adalah perang psikologi. Saya percaya orang ramai di Malaysia tidak mudah dipengaruhi".
Beliau berkata apa yang penting ketika ini adalah perlunya menangani masalah ekonomi negara, di samping mengukuhkan perpaduan di kalangan kaum dalam negara.
Merujuk kepada satu cadangan oleh beberapa pihak dari Pas supaya diwujudkan kerajaan campuran antara Barisan Nasional dan Pas, katanya beliau mengambil sikap terbuka terhadap syor itu, sekiranya ia berdasarkan kepada cadangan yang boleh membawa manfaat kepada negara.
"Perlu tetapkan dahulu sekiranya ia adalah cadangan yang dikemukakan oleh Pas, atau individu tertentu dalam Pas," katanya. / Bernama
* Masih tidak faham? Maksudnya lantiklah aku. Mungkin itu yang tersimpan dalam lubuk hati Muhyiddin.
No comments:
Post a Comment