01 March 2009

Kerajaan ada hak batalkan perjanjian konsesi

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Batalkan saja perjanjian konsesi lebuh raya.

Itu desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang mahu supaya kerajaan bertindak sedemikian.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, semasa perjanjian itu dibuat, FOMCA dan beberapa NGO lain tidak bersetuju dengan isi kandungannya yang lebih memihak kepada syarikat pemilik konsesi.

"Lebuh raya adalah kemudahan awam. Tidak sepatutnya ia diswastakan dan kemudian dikenakan tol.

"Walaupun sudah mendapat balik pulangan kos pembinaan tetapi syarikat konsesi tetap mengenakan tol dan menaikkan kadarnya atas alasan mengikut perjanjian," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan kelmarin yang mengumumkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya, sebelum keputusan itu dibatalkan kerana tidak dipersetujui banyak pihak.

Menurut Sha'ani, kerajaan perlu memanggil wakil syarikat konsesi secepat mungkin dan berbincang secara adil demi kepentingan rakyat.

"Kebanyakan pemilik konsesi adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jadi tiada masalah kerajaan membelinya semula dan menghentikan perjanjian berkenaan," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, sepatutnya kerajaan menasihati syarikat konsesi supaya jangan menaikkan kadar tol sewenang-wenangnya.

Katanya, di negara lain, syarikat konsesi tunduk kepada keputusan kerajaan dan tidak mendesak kerana sedar kerajaan lebih berkuasa.

"Mereka banyak ambil kesempatan daripada kerajaan dan rakyat dengan mementingkan diri serta tidak bertanggungjawab walaupun berdepan krisis ekonomi," katanya. - Utusan

* Tol boleh dilakukan sekiranya untuk membiayai pembinaan jalan raya itu supaya lebih baik dan juga diaggap sumbangan masyarakat terhadap negara bukan tempat pihak swasta mencari keuntungan besar dan menyusahkan serta membebankan masyarakat.

No comments:

Post a Comment