28 March 2009

Keengganan Nizar serah kereta rasmi pemahaman yang salah

IPOH: Keengganan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyerahkan kereta rasminya kepada kerajaan negeri sehingga kes saman beliau terhadap Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir diputuskan oleh mahkamah adalah satu pemahaman yang salah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim berkata Mohammad Nizar sebagai pihak yang menuntut dalam kes mahkamah itu mesti menyerahkan kenderaan rasmi itu terlebih dahulu dan menunggu keputusan kes mahkamahnya itu.

"Jika keputusan memihak kepada beliau, barulah beliau berhak ke atas kenderaan itu. Pada kelazimannya, beliau juga berhak mendapat ganti rugi yang setimpal," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Abdul Rahman berkata Peraturan Kerajaan Negeri Perak menetapkan bahawa kenderaan rasmi kerajaan mestilah dipulangkan kepada kerajaan Negeri jika seseorang pegawai atau anggota pentadbiran (Menteri Besar/Ahliahli Exco) bertukar ke jabatan lain, bersara ataupun berhenti daripada menjawat jawatan yang disandang dalam kerajaan.

"Walaupun peraturan mengkehendaki kenderaan kerajaan diserahkan sebaik sahaja tidak lagi menjawat jawatan yang berkenaan, kebiasaannya sesuatu tempoh yang berpatutan atas dasar kemanusiaan akan diberi untuk membolehkan pegawai atau bekas Menteri Besar atau bekas Ahli-ahli Exco yang berkenaan menguruskan hal-hal seperti perpindahan dan hal peribadi yang lain," katanya.

Beliau berkata kebiasaannya pegawai kerajaan akan menyerahkan kenderaan rasmi dalam masa yang singkat daripada satu atau dua hari hingga satu minggu sahaja.

Abdul Rahman berkata setakat ini Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengeluarkan tiga surat rasmi kepada pihak Mohammad Nizar selain membuat permintaan secara lisan agar bekas Menteri Besar itu memulangkan kenderaan rasmi jenis Toyota Camry 2.4V bernombor pendaftaran AGS 10.

"Selepas surat pertama dikeluarkan pada 5 Feb 2009, surat susulan kedua bertarikh 23 Feb 2009 dikeluarkan kepada bekas Menteri Besar. Seterusnya surat ketiga bertarikh 3 Mac 2009 untuk mendapatkan kenderaan rasmi itu telah dikeluarkan tetapi sehingga kini ia masih belum dipulangkan," katanya.

Katanya setakat ini lima buah kenderaan iaitu satu Proton Perdana Executive, dua Proton Perdana, satu Naza Sorento dan satu Mercedes Benz Pacuan Empat Roda yang digunakan oleh bekas Menteri Besar itu telah diserahkan pada 23 Feb 2009 manakala kediaman rasmi Menteri Besar diserahkan pada 27 Feb lepas.

Abdul Rahman berkata kenyataan akhbar itu bertujuan untuk menjelaskan kekeliruan dan persoalan daripada orang ramai yang menyatakan bahawa Mohammad Nizar mendakwa bahawa beliau berhak menggunakan kenderaan rasmi Menteri Besar Perak tersebut.

"Ada juga maklumat saya terima menyatakan bahawa Mohammad Nizar juga masih mendapat bayaran gaji dan elaun penuh sebagai Menteri Besar Perak. Selain daripada itu tanda nama Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak Darul Ridzuan atau yang membawa maksud yang sama seperti itu juga ada dipasang di rumah sewa beliau," katanya. BERNAMA

* Orang yang paling dibenci di Perak

2 comments:

  1. Setiausaha ini tak faham peraturan dan disalahkan orang lain. Macam tukang lawak.Peraturan sebut sekiranya penjawat jawatan ditukar jabatan, bersara atau berhenti dari jawatan.

    DS Nizar tidak pun termasuk didalam peraturan yang tersebut sebab dia tidak pernah meletak jawatan bermakna dia masih memegang jawatan Menteri Besar Perak dan berhak menggunakan kemudahan kereta.

    ReplyDelete
  2. Dia ni mmg macam tu..gila.
    nnti pastinya si SU pengal ni akn tahu nasibnya...

    ReplyDelete