SHAH ALAM, 20 Mac (Bernama) -- Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) Jumaat menyerahkan dokumen yang didakwa tuduhan penyalahgunaan kuasa oleh seorang bekas menteri, yang melibatkan pengagihan saham khas sebanyak 1.5 juta unit untuk Bumiputera pada 1993, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiausaha GERAK Siti Faridah Abdul Samad dan dua anggota jawatankuasanya Adlin Jalaluddin dan Wan Afifi Wan Zainuddin menyerahkan dokumen setebal 12 muka surat itu kepada pegawai-pegawai penyiasat SPRM di sini.
"GERAK berharap agar SPRM dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap kes ini dan sekiranya wujud bukti yang kukuh berkaitan kes, maka pihak yang terbabit perlu menjalani proses undang-undang," katanya.
Siti Faridah berkata pengagihan saham khas Bumiputera pada asasnya adalah untuk memenuhi pegangan ekuiti Bumiputera selaras dengan Dasar Ekonomi Baru.
Pengagihan saham khas Bumiputera itu didakwa diberikan kepada seorang anggota keluarga bekas menteri itu.
"Pengagihan saham kepada anggota keluarga yang membabitkan jumlah 1.5 juta unit saham ini tidak wajar dilakukan kerana ia memperlihatkan amalan kronisme yang dilakukan dengan menggunakan kuasa (menteri) ada," katanya.
Beliau berkata dokumen itu telah dihantar ke pejabat GERAK oleh seorang pengadu yang tidak dikenali melalui pos minggu lepas.
-- BERNAMA
* Carilah yang besar sikit. Biar kawan tu berehat dan pencen.
No comments:
Post a Comment