09 March 2009

Gapena tidak berganjak - Ismail

KUALA LUMPUR 8 Mac - Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) tetap dengan perjuangan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) demi masa depan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Malah, Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein menegaskan, pihaknya tidak berganjak daripada pendirian itu kerana PPSMI akan memberi kesan buruk kepada perkembangan bahasa Melayu di negara ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, Gapena tidak akan menggunakan cara yang bertentangan dengan undang-undang seperti yang berlaku di ibu kota semalam.

"Cara Gapena untuk menyatakan pendirian adalah melalui saluran intelektual dan bukannya berarak secara haram. Ini bukan cara kami. Kami tidak terlibat langsung dengan perarakan semalam.

"Kami mahu PPSMI dihapuskan segera kerana ia lebih banyak memberi keburukan. Kami konsisten dan tidak akan berganjak walaupun seinci sampai bila-bila," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang perarakan kira-kira 5,000 penyokong perhimpunan membantah dasar PPSMI daripada menghampiri Istana Negara.

Perhimpunan anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) itu bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Namun, ia bertukar menjadi kecoh apabila penyokong terbabit berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara walaupun tidak mendapat permit polis.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam reaksinya semalam mahu isu PPSMI diselesaikan segera bagi mengelakkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana terdapat desakan kuat terutama daripada orang Melayu dan satu keputusan segera mengenainya perlu dilakukan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, GMP terperangkap dalam kejadian semalam ekoran campur tangan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik.

"Apabila masuk unsur-unsur politik perarakan itu sudah menjadi lain sedangkan apa yang GMP lakukan adalah ikhlas dan jujur iaitu mahu melihat bahasa Melayu dimartabatkan.

"Mereka (GMP) tidak bersalah. Mereka terperangkap berikutan wujudnya unsur-unsur politik di dalam perarakan itu," katanya.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri itu, beliau berkata, jalan penyelesaian sekarang ialah menghapuskan segera PPSMI.

"Kami bukan menentang penggunaan bahasa Inggeris. Penggunaannya hendaklah diperkasakan terutama di kalangan pelajar luar bandar tetapi bukan dengan cara ini (pelaksanaan PPSMI).

"Sebaliknya subjek bahasa Inggeris itu perlu dimantapkan lagi. Gapena yakin dengan adanya guru-guru berkelayakan, usaha kerajaan untuk memastikan pelajar kita menguasai bahasa Inggeris akan tercapai," tambahnya. - Utusan

* Umno sanggup belakangkan bahasa Melayu demi politik sempit

1 comment:

  1. Kalau nak guna saluran intelektual mengikut ketua Gapena ini tunggu lagi satu kurun pun PPSMI tak akan di mansuhkan dan Bahasa Melayu termasuk Gapena akan berkubur dan tinggal nama sahaja.

    Tahniah kepada penulis dan pejuang Bahasa Melayu yang berani keluar untuk memertabatkan bahasa.

    ReplyDelete