31 March 2009

Beri Kami Masa Setahun, Kata SPRM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kasim Mohamed meminta masyarakat memberi masa kepadanya selama setahun sebelum membuat apa-apa andaian terhadap badan itu.

Beliau berkata andaian yang terlalu awal tidak sepatutnya digambarkan kerana memerangi rasuah dengan berkesan mengambil masa.

"Saya minta supaya masyarakat jangan buat keputusan peringkat awal. Biarlah kita jalankan tugas dan buat penilaian terhadap kita akhir tahun ini sekurang-kurangnya. Nak kritik, kritiklah (selepas itu)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada Sidang Kemuncak Anti Rasuah bertajuk "Berkepentingan - Bahagian Tersembunyi di Dalam Rasuah.

Katanya berdasarkan perbincangannya hasil lawatan ke Suruhanjaya Bebas Membanteras Rasuah Hong Kong (ICAC) yang diwujudkan sejak 1974, keberkesanan mengatasi rasuah mengambil masa satu hingga tiga tahun.

"Dalam konteks ini jangan kita awal-awal lagi membuat tohmahan dan tafsiran yang negatif kerana kita ada anggota jawatankuasa yang terdiri daripada mereka yang bebas, berintegriti dan mempunyai status tinggi dalam masyarakat.

"Jadi mereka juga ingin menjaga imej mereka itu," katanya.

Beliau berkata pada mesyuarat yang dihadiri mereka, anggota jawatankuasa ini turut menyatakan apa yang baik dalam organisasi jadi perubahan yang berlaku memerlukan masa untuk membuktikannya.

Abu Kasim berkata cabaran SPRM ialah berpegang kepada prinsip konsistensi dalam melaksanakan tugas tidak boleh beranjak ke kiri atau kanan dan mengikut desakan mana-mana pihak sekalipun.

Mengenai kes berprofil tinggi beliau berkata sememangnya SPRM tidak pernah menyembunyikannya tetapi pada masa ini mereka menghadapi isu persepsi.

"Kalau kita mengambil tindakan terhadap pemimpin kerajaan dari Barisan Nasional kita dikatakan memihak kepada pembangkang begitu juga sebaliknya.

"Kita dikatakan suruhanjaya untuk kereta dan lembu. (MACC). Kita tersepit di tengah-tengah," katanya.

-- BERNAMA

* Gagal juga selepas itu, elok letak jawatan

No comments:

Post a Comment