20 March 2009

Anwar nafi arah Fairus letak jawatan

KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan beliau telah mengarahkan Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri, Pulau Pinang dan Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) kawasan Penanti.


Sebaliknya Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata Fairus telah menghubunginya dan memaklumkan bahawa beliau akan bercuti selama dua hari.


SMS disebarkan sejak kebelakangan ini mengatakan Anwar telah meminta beliau mengosongkan kerusi Timbalan Ketua Menteri dan juga sebagai ADUN.


"Anda dengar khabar angin, dan anda mahu saya sahkan? Setakat yang saya tahu tak ada apa-apa (arahan), yang saya tahu YB (Yang Berhormat) Fairus jalankan tugas dia.


"Dia beritahu nak cuti selama dua hari dan dia juga dah beritahu Ketua Menteri, takkanlah cuti dua hari pun jadi isu nasional, saya tak faham mengapa ia (cuti) menjadi isu," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.


Oleh itu,Timbalan Ketua Menteri itu tidak akan hadir pada majlis bersama Anwar di Bukit Selambau esok.


"Dia beritahu saya sebab saya minta pimpinan kanan Pulau Pinang dan Kedah bersama saya di Bukit Selambau esok pagi.


"Dia pohon maaf sebab tak dapat bersama kerana bercuti," katanya.


Diminta mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan Fairus tidak sehaluan dengan PKR, Anwar seakan mengelak daripada memberi sebarang komen.


"Yang tak sehaluan dengan PKR ialah Umno...Umno yang tak sehaluan.


"Kalau anda tanya saya, tak ada masalah...dia cuti," katanya.


Ditanya sama ada Fairus menjalankan tugasnya dengan baik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan ADUN, Anwar berkata: "Ada dalam sebahagian dia perform (buat), tapi kita semua seperti saya juga ada ruang untuk perbaiki (kelemahan)," katanya.


Menjawab soalan sama ada PKR mempunyai individu lain yang lebih layak untuk menggantikan Fairus, dengan berseloloh Anwar berkata: "Yang itu saya kena bincang dengan Siva (R. Sivarasa)".


Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menafikan desas desus kononnya timbalannya Mohamad Fairus Khairuddin telah dipecat.


Katanya Fairus masih menjalankan tugas seperti biasa dan telah menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri minggu lepas. - Mstar

No comments:

Post a Comment