31 March 2009

10 suspek culik pelajar ditahan

GEORGETOWN: Polis berjaya menyelesaikan kes penculikan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di Bukit Mertajam, minggu lalu, berikutan kejayaan menahan 10 suspek dan menemui wang tunai hampir RM100,000, dipercayai wang tebusan.

Semua suspek berusia 16 hingga 47 tahun termasuk seorang ibu dan anak lelakinya, ditahan di beberapa lokasi di negeri ini pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata semua suspek terbabit direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1971.

Beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar wang tebusan yang ditemui semula.

"Polis menemui semula lebih 90 peratus daripada wang tebusan yang dibayar ibu bapa pelajar lelaki terbabit kepada penculik bagi pembebasan anak mereka.

"Remaja itu cuma cedera ringan pada mata akibat ditutup dengan pita pelekat," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi Rabu lalu, pelajar Sekolah Menengah Jit Sin itu diculik sekumpulan tiga lelaki ketika menunggu bas sekolah di Taman Gemilang Jaya.

Mangsa dilarikan lelaki terbabit dengan menaiki sebuah kereta. Selepas itu, kumpulan terbabit menghubungi keluarga mangsa untuk mendapatkan wang tebusan.

Difahamkan, penculik meminta bayaran tebusan RM500,000 tetapi dikurangkan kepada RM100,000 selepas berunding dengan keluarga mangsa.

Bapa mangsa yang juga ahli perniagaan bekerjasama dengan polis untuk memerangkap penculik terbabit.

Selepas mendapat wang tebusan Jumaat lalu, penculik berkenaan membebaskan pelajar itu di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam.

Kira-kira sejam selepas mangsa dibebaskan, polis memberkas penculik terbabit di Taman Sri Rambai, diikuti beberapa tangkapan lagi di Lebuh Pantai di sini dan Batu Feringgi. _ Bharian

No comments:

Post a Comment