28 February 2009

Tol : Kerajaan tidak berani naik kerana pilihanraya kecil

Kenaikan Kadar Tol Lima Lebuh Raya Ditangguh, Umum Najib

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Kabinet hari ini memutuskan kadar baru tol di lima lebuh raya yang sepatutnya bermula Ahad ini ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.

Beliau berkata kadar baru tol itu tidak akan dilaksanakan dalam jangka masa terdekat atau sehingga akhir tahun ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Mohd Zin pada sidang akhbar di kementeriannya petang ini berkata kerajaan akan menangguhkan kadar baru di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata penangguhan kenaikan kadar tol itu akan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM500 juta, yang terdiri daripada wang pembayar cukai kepada syarikat konsensi kelima-lima lebuh raya itu.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu pada sidang akhbar mengenai ekonomi negara di Kementerian Kewangan di sini.

Najib turut menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya penangguhan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya itu ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah pada 7 April ini.

"Tidak ada kena mengena. Keputusan ini dibuat untuk kebaikan dan manfaat rakyat," kata Timbalan Perdana Menteri.

Semalam Mohd Zin mengumumkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya tersebut.

Beberapa jam selepas pengumuman itu dibuat, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedang menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Hua Hin, Thailand telah meminta Kabinet supaya menimbang semula kenaikan tol itu kerana ia tidak sesuai dalam keadaan sekarang.

"Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar.

"Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. Apakah kadar baru tol ditangguhkan ketarikh yang akan ditetapkan akan menggembirakan rakyat yang menggunakan leburaya...?

    Hanya ahli UMNO saja yang akan bergembira dengan penangguhan itu sedangkan rakyat bukan ahli UMNO amat tertekan dengan kadar baru tol yang bakal dikenakan oleh kerajaan.

    Sebenarnya tuan punya leburaya tidak pernah mengalami kerugian sejak leburaya itu dibuka kepada pengguna, tapi mereka mengikut sistem kapitalis. Pemodal dan para cukong mahu mengaut keuntungan sebanyak yang mungkin tanpa mempeduli kesusahan yang ditanggong oleh rakyat.

    Sungguh celaka sistem kapitalis !!

    ReplyDelete