02 February 2009

SPR wajar panggil pilihan raya kecil di Perak

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja menerima notis pengesahan kekosongan mana-mana kerusi termasuk di Perak, yang kini "menuju kontroversi perundangan".

Sama ada seseorang wakil rakyat itu mahu mengambil tindakan mahkamah kononnya pihak tertentu atau parti mereka menggunakan surat letak jawatan yang telah ditandatangani terlebih awal, sebelum kekosongan diumumkan, merupakan satu soal berlainan.

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi mStar Online memberitahu, mengikut perundangan pilihan raya, sebaik sahaja notis kekosongan diterima daripada Speaker, pilihan raya kecil wajar diadakan.

Mengikut skop perundangan, kata beliau, SPR perlu menerima langkah Speaker mengumumkan kekosongan yang tidak boleh dicabar atau diketepikan.

"Mengikut undang-undang (Perlembagaan negeri dan persekutuan), SPR perlu menghormati notis pengesahan kekosongan dan mengadakan pilihan raya kecil dengan sewajarnya (dalam 60 hari)," kata beliau.

Sama ada penyandang kerusi terbabit mahu mencabar keputusan Speaker ataupun sebaliknya, ia merupakan perkara lain.

Beliau mengulas polemik ekoran pendirian dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi menafikan mereka meletakkan jawatan dan menyifatkan pengumuman Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar lewat petang semalam mengenainya sebagai satu "pembohongan".

Kedua-dua ADUN tersebut berkata mereka akan menghubungi peguam mereka untuk tindakan selanjutnya.

"Ini satu pembohongan dan kami akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," kata ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi.

Difahamkan Sivakumar sudah menghubungi Pejabat Pilihan Raya Perak sebentar tadi untuk memaklumkan kekosongan itu.

ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu turut menafikan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagaimana didakwa oleh Sivakumar.

"Sehingga kini kami masih ADUN PKR dan belum pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti, (menjadi) calon bebas pun tidak, atau mengumumkan menyertai Umno," kata Jamaluddin dalam reaksinya terhadap kenyataan Sivakumar bahawa mereka menyerahkan meletakkan jawatan kepadanya hari ini setelah dikatakan menghilangkan diri sejak beberapa hari lepas.

Jamaluddin dan Osman berkata surat peletakan jawatan yang dimaksudkan Sivakumar ialah surat yang ditandatangani tujuh Adun PKR pada 8 Mac tahun lepas kerana Pakatan Rakyat bimbang mereka berdua akan menyertai Barisan Nasional (BN). - Mstar

No comments:

Post a Comment