27 February 2009

Pemberontak letak senjata

DHAKA 26 Feb. - Pemberontakan anggota pasukan keselamatan sempadan Bangladesh berakhir apabila mereka meletak senjata sepenuhnya di ibu pejabat BDR di sini.

Lebih 130 pegawai tentera dilaporkan hilang selepas pemberontakan itu, dan turut maut ialah ketua pasukan keselamatan sempadan Bangladesh, Mejar Jeneral Shakil Ahmed.

Jurucakap media Perdana Menteri Sheikh Hasina Wajed, Abul Kalam Azad memberitahu Reuters, semua anggota pemberontak telah menyerah diri bersama senjata mereka.

''Semua tentera terlibat telah pulang ke berek mereka. Menteri Dalam Negeri, Menteri Kewangan dan semua tebusan juga sedang dibebaskan,'' katanya.

Pasukan keselamatan sempadan itu bersetuju menyerah diri selepas kerajaan menjanjikan pengampunan selain berjanji meneliti permintaan mereka.

Peletakan senjata itu juga dibuat selepas Hasina memberi amaran kepada anggota biasa Bangladesh Rifles (BDR) supaya menyerah diri secepat mungkin atau mereka bakal berdepan tindakan keras kerana memberontak.

Hasina seperti yang disiarkan stesen televisyen tempatan berkata, anggota BDR sengaja meletakkan diri mereka 'di jalan yang mungkin membawa kemusnahan' ekoran pemberontakan yang tercetus.

Hampir 50 pegawai tentera dipercayai terbunuh dalam pemberontakan yang bermula semalam.

Terdahulu, kerajaan mengarahkan perkhidmatan telefon mudah alih digantung di seluruh negara dalam usaha untuk membendung kekacauan itu.

Keganasan yang bermula di Dhaka itu merebak sekalipun pengampunan menyeluruh untuk askar yang memberontak ditawarkan oleh Perdana Menteri, Sheikh Hasina Wajed yang juga berjanji untuk menyelesaikan aduan mengenai gaji rendah dan kemudahan lain yang tidak memuaskan.

Ketua polis di negara miskin dan tidak stabil ini melaporkan, anggota biasa Bangladesh Rifles (BDR) memberontak di 12 daerah atau kira-kira satu perempat daripada zon yang menempatkan pasukan BDR.

"Mereka melepaskan tembakan membabi buta dan pegawai pemerintah mereka memberitahu saya, beliau telah melarikan diri dari kem," kata seorang ketua polis di daerah Moulivibazar, timur laut negara ini.

Seorang lagi ketua polis, Kamrul Ahsan dari pekan Satkania di tenggara melaporkan pertempuran sengit di sebuah pusat latihan BDR.

Para pegawai bertungkus-lumus untuk menamatkan pemberontakan awal yang bermula di ibu pejabat BDR di sini semalam, dengan sebahagian ibu negara ini sudah bertukar menjadi sebuah zon pertempuran.

Timbalan Menteri Kehakiman, Kamrul Islam berkata, askar BDR mula menyerahkan senjata di hadapan mereka, tetapi bilangan mereka kira-kira 15,000 orang dengan 12,000 daripadanya dipercayai bersenjata. - AFP / Agensi

No comments:

Post a Comment