23 February 2009

Kontraktor mati diserang

KLANG 22 Feb. - Seorang kontraktor binaan maut akibat ditetak dengan parang oleh sekumpulan perompak dalam kejadian samun di kediamannya di Bukit Tinggi, di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika mangsa, S. Sivanathan, 31, berada di bilik tidur di tingkat atas sementara isterinya, R. Kavita, 31, dan anak perempuannya berusia tiga tahun, di tingkat bawah.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, insiden tersebut berlaku semasa isteri mangsa dan anaknya hendak keluar rumah untuk pergi ke pasar.

Katanya, secara tiba-tiba tiga lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang muncul di hadapan rumah itu.

"Kedua-dua beranak itu kemudiannya dikurung di dalam bilik di tingkat bawah rumah dengan diawasi seorang suspek manakala dua lagi meluru ke tingkat atas lalu berlaku pergelutan dengan mangsa.

"Mangsa cedera parah apabila ditetak di bahagian kaki serta badan. Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Amupan Rahimah (HTAR) kira-kira pukul 11 pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Kembara milik mangsa menggunakan nombor pendaftaran BFU 162.

Beliau berkata, motif sebenar kejadian masih disiasat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis di talian 03-33712222 atau balai berhampiran bagi membantu siasatan. - utusan

No comments:

Post a Comment