IPOH, 3 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak tidak lagi mengiktiraf Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak kawasan Behrang dan Changkat Jering.
Speaker DUN Perak V.Sivakumar malam ini berkata jawatan exco yang dipegang oleh kedua-dua ADUN itu juga dilucutkan dan mereka tidak dibenarkan menghadiri persidangan DUN negeri yang akan datang.
Katanya tugas mereka akan dipangku oleh individu yang akan diputuskan pada mesyuarat exco akan datang.
Sivakumar berkata keputusan tersebut diambil kerana beliau tidak mengiktiraf keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini yang memutuskan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering tidak kosong dan Jamaluddin dan Mohd Osman mengekalkan jawatan mereka.
Saya tetap berpegang kepada keputusan sebelum ini bahawa kedua-dua ADUN berkenaan telah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada saya, katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang akhbar yang sama berkata kerajaan negeri akan mencabar keputusan SPR di mahkamah selepas tempoh 48 jam.
Ketika ditanya sama ada akan meneruskan tindakan tersebut memandangkan pengerusi DAP Karpal Singh telah menyatakan bahawa tindakan itu hanya membuang masa, Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri akan meneruskan tindakan mahkamah tersebut kerana berpandangan fakta kes kedua ADUN PKR tersebut adalah berbeza dengan kes yang dinyatakan Karpal.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment