JOHOR BAHRU 11 Feb. — Persatuan Bekas Komando Negeri Johor mahu anggota Rejimen Gerak Khas yang membocorkan klip video yang memaparkan aktiviti latihan pasukan komando itu kepada sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini, dikenakan hukuman berat.
Penasihatnya Datuk Abdul Aziz Sapian berkata sebarang corak latihan yang dijalani oleh anggota pasukan tersebut merupakan rahsia ketenteraan yang perlu dikawal ketat.
“Mereka yang bersalah perlu dilucutkan hak untuk memakai beret hijau,” katanya kepada Bernama.
Namun menurutnya, apa yang dipaparkan di dalam klip video terbabit tidak menggambarkan keadaan sebenar bentuk latihan yang dialami oleh anggota komando negara.
“Apa yang disiarkan di dalam klip video itu adalah amat kecil berbanding keseluruhan latihan yang dilalui oleh anggota komando kita,” katanya yang pernah berkursus komando di luar negara.
Abdul Aziz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Nusajaya mencadangkan agar anggota atau jurulatih yang terlibat dalam sebarang bentuk latihan asas dan pakar komando tidak dibenarkan membawa alat komunikasi terutama telefon bimbit yang memiliki kamera.
— BERNAMA
sokong,,,,,,,,,
ReplyDelete