14 February 2009

GMP nekad anjur perhimpunan raksasa 7 Mac

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) nekad untuk mengadakan perhimpunan raksasa pada 7 Mac bulan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walau apa juga keadaannya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Setiausaha GMP, Hasni Abas menjelaskan bahawa perhimpunan yang mensasarkan penyertaan 100,000 orang itu akan tetap diteruskan walaupun berkemungkinan pihak polis tidak mengeluarkan permit.

"Orang (pejuang) bahasa berani dan nekad menghadapi pelbagai kemungkinan demi perjuangan memartabatkan bahasa," kata beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bagaimanapun, tegasnya, GMP akan menjamin supaya perhimpunan itu berjalan lancar dan aman, dengan bantuan Unit Amal PAS dan Angkatan Muda PKR (AMK) yang turut bergabung dalam GMP..

Menurutnya, permit mengadakan perhimpunan itu akan dipohon seminggu sebelum program berjalan.

Selain itu, Hasni berkata, jika kerajaan membuat keputusan memansuhkan PPSMI dalam tempoh terdekat seperti dituntut gabungan itu - perhimpunan raksasa itu akan tetap diteruskan.

Bagaimanapun, tambah Hasni, bentuknya akan bertukar menjadi majlis meraikan kejayaan serta mengucapkan berterima kasih kepada pihak terbabit.

"Mungkin (perhimpunan itu) lebih ramai. Macam menang (lawan) bola, ramai orang hendak meraikannya," kata beliau.

Sejumlah 100,000 orang dijangka berarak ke Istana Negara dari beberapa tempat bagi menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campurtangan baginda berhubung perkara itu.

Malam tadi, GMP terlibat dengan ceramah berhubung isu PPSMI di Rembau.

* Jika mereka berterusan bantah begini, tidak lama lagi kerajaan akan akur

No comments:

Post a Comment