JAKARTA, 10 Feb (Bernama) -- Indonesia sekali lagi riuh dengan cerita keajaiban, kali ini mengenai seorang dukun kecil berusia sembilan tahun yang dikatakan mendapat sebuah batu ajaib ketika hampir disambar petir baru-baru ini dan tahu-tahu didakwa mampu mengubati segala penyakit.
Media massa tempatan melaporkan sejak beberapa hari lepas, rumah dukun kecil yang bernama Ponari itu diserbu puluhan ribu orang setiap hari yang berharap pelbagai penyakit mereka dapat diubati dengan meminum air yang dicelup batu ajaib oleh dukun itu yang didukung oleh keluarganya mengelilingi pesakit itu.
Laporan akhbar menyebut anak kecil itu yang merupakan murid darjah tiga sekolah rendah di kampungnya di Dusun Kedungsari, Jombang, Jawa Timur, tidak pun sedar dirinya dianggap sebagai dukun sehinggakan ketika didukung berkeliling untuk mencelup batu ajaibnya, dia masih bermain-main.
Ada laporan menyebut bahawa pendapatan keluarganya pernah mencapai puluhan juta rupiah (berpuluh ribu RM) sehari hasil daripada sumbangan orang ramai yang datang berubat walaupun mereka tidak pernah dikenakan bayaran tertentu dan terpaksa beratur sejauh 10km dan menunggu berhari-hari untuk mendapat rawatan.
Ketua polis setempat seperti diberitakan oleh agensi berita Antara, dilaporkan menganggarkan jumlah pesakit yang datang ke situ menjangkau 50,000 hingga 60,000 sehari berdasarkan nombor giliran yang dikeluarkan kepada pesakit walaupun Ponari dikatakan hanya mampu merawat 10,000 orang sahaja setiap hari.
Menurut polis, sekitar jalan menuju ke rumah Ponari dikawal oleh 1,000 anggota polis dan akibat orang ramai yang berebut-rebut, sehingga kini empat orang yang cuba mendapatkan rawatan mati terpijak oleh orang ramai dan puluhan yang lain cedera.
Hari ini, polis menutup rumah Ponari atas alasan kanak-kanak itu kelihatan terlalu letih selepas setiap hari mengubati pesakitnya dari pukul 7 pagi hingga 4 petang sedangkan dia sendiri terpaksa dikejarkan ke hospital di Jombang petang semalam kerana keletihan.
Kini, dia bersama keluarganya disembunyikan di satu tempat yang dirahsiakan oleh polis, sedangkan stesen televisyen tempatan menyiarkan visual masih ramai pesakit yang menunggu kepulangan Ponari ke rumahnya untuk memberikan rawatan kepada mereka.
Ketua daerah Jombang, Suyatno, pula dilaporkan mengadakan mesyuarat dengan polis hari ini untuk mencari jalan terbaik mengawal keadaan di situ supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini tetapi berpendapat pihak berkuasa tidak berhak menutup peluang orang ramai mendapatkan rawatan itu kerana ia merupakan hak masyarakat.
Keluarga Ponari dilaporkan mula menyedari anak kecil itu boleh mengubati penyakit dengan batu ajaibnya apabila dia dengan sendirinya mencelupkan batu itu ke dalam air untuk diminum oleh seorang anak jirannya yang setelah itu sembuh daripada demam panas.
Tidaklah diketahui sejauh mana keberkesanan sebenar perawatan dengan batu ajaib oleh Ponari itu, tetapi menurut seorang pensyarah psikologi sebuah universiti tempatan yang dihubungi BERNAMA, siapapun akan mudah percaya dan meletakkan harapan untuk sembuh apabila sudah sekian lama menghidap sesuatu penyakit.
"Walaupun dunia perubatan moden sudah berusaha menyembuhkan mereka dengan ubat-ubatan yang teruji secara saintifik tetapi manusia masih mengharapkan sesuatu keajaiban dan segera sembuh seperti dalam fenomena dukun kecil Muhammad Ponari ini," katanya yang enggan disebutkan namanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment