Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
04 February 2009
DALAM meniti usia 46 tahun pelakon berkaliber Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy lebih senang menyibukkan diri dengan aktiviti keagamaan.
DALAM meniti usia 46 tahun pelakon berkaliber Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy lebih senang menyibukkan diri dengan aktiviti keagamaan.
Terbaru dia sibuk dengan aktiviti ceramah dan telah membawa ulama terkenal, Abdullah Gymnastiar yang sering digelar "kiyai A'a", dari Indonesia untuk berceramah di negara ini.
Dengan kerjasama kawannya Azizan Shuib bersama syarikat produksinya, Ogy kini sibuk menguruskan aktiviti yang bersifat keagamaan sebagai kariernya.
Ketika diajukan soalan tersebut kepadanya, nyata anak kepada pelakon veteran ternama, Allahyarham Datuk Ahmad Daud ini lebih senang mengisi masanya dengan aktiviti berbentuk keagamaan bagi memantapkan ilmu agama dalam dirinya.
“Saya sudah berusia 46 tahun, saya rasa sudah tiba masanya kerana bagi saya adalah lebih baik kita seimbangkan perkara berkaitan dunia dan akhirat.
“Dalam apa jua yang kita lakukan kita perlu ingat perkara berkaitan hati jadi dengan ilmu yang kiyai ada tidak salah rasanya kita berkongsi dan menyebarkannya kepada orang lain.
“Kami juga cuba membawakan konsep 'management kalbu' yang diterapkan oleh kiyai A’a di Indonesia ke neagara ini. Dengan mengadakan ceramah, seminar dan program bersifat keagamaan seperti qiyamulail saya yakin masyarakat dapat menerima dan menyertai program sebegini.
“Saya telah mengikuti perkembangan kiyai sejak tahun 2003 lagi dan saya sangat cara dia berceramah dan mendekati masyarakat. Namun hanya selepas enam tahun saya berjaya bertemu dengannya dan membawa beliau untuk berceramah ke negara ini,” kata Ogy yang juga sepupu kepada penyanyi Rahimah Rahim ini.
Menurut Ogy lagi, cara yang digunakan oleh kiyai A’a yang mengetengahkan konsep 'management kalbu' diterima oleh ramai pihak.
“Kita mahu masyarakat di sini menerima cara penyampaian yang digunakan olehnya yang sememangnya terbukti berkesan. Kami juga telah adakan ceramah atau usrah agama di Majid Al-Ridhwan dengan tajuk Hidayah.
“Semua orang akan mendapat faedah daripada program sebegini. Lebih-lebih lagi semenjak saya bergelar seorang ibu, saya perlu jadi contoh ’role model’ yang baik kepada anak saya sendiri,” ujar Ogy yang mengambil anak angkat perempuan tidak lama dulu.
Jelas pelakon yang terkenal dengan watak Asmidar ini dia mengambil masa yang agak lama untuk membawa ulama terkenal itu ke negara ini dan segalanya bermula dengan pertolongan sahabatnya, Haji Azizan.
“Kami terpaksa tunggu kiyai habis bertapa dan memuhasabah diri selama tiga tahun barulah kami dapat membawanya ke negara ini.
“Insya-Allah kami akan cuba membawa kiyai berceramah ke serata negeri di sini tapi semuanya bergantung kepada kelapangan waktu dan tawaran yang diterima.
“Kami masih dalam perbincangan dan ia disesuaikan mengikut program yang akan disertainya. Dari segi skrip semua akan masih dalam peringkat perbincangan lagi dan ia belum di finalize lagi.
“Ia mungkin boleh jadi drama, talkshow, dan lain-lain. Dalam masa yang sama kami ada juga perancangan untuk buat animasi seperti Upin dan Ipin pada masa depan,” kata anak kepada pelakon Saadiah.
Mahu anak jadi doktor
Ditanya mengenai perkembangannya sebagai pelakon nyata anak kelahiran singapura ini masih berlakon biarpun sibuk membesarkan anak angkatnya, Nur Aishah Aminah (Aminah) yang sudah berusia setahun dua bulan.
“Alhamdulillah terbaru Kak Ogy akan berlakon dalam filem, ’Magika’ terbitan KRU Motion Pictures. Kak Ogy bawa watak emak dalam filem ini. Walaupun tak banyak babak, Kak Ogy seronok berlakon dengan KRU.
“Lagi pun filem tu tak ambil masa yang lama saya dapat habiskan masa berharga bersama baby saya. Syukur sangat, kalau boleh memang saya nak tengok dia membesar di depan mata saya.
“Saya akan pastikan saya masak untuk dia setiap hari sebelum keluar bekerja dan saya akan tidurkan dia pada waktu malam. Saya akan pastikan punya masa secukupnya dengan Aishah,”ujar Ogy dalam nada ceria.
Bagi Ogy dia menganggap Aishah seperti anak kandungnya sendiri lebih-lebih lagi kerana dia tidak punya zuriat sendiri.
“Bila menjaga Aishah sering mengingkatkan saya tentang bagaimana arawah ibu saya bersusah-payah menjaga dan membesarkan saya dulu,” kata Ogy sayu.
Jelas pelakon yang baru sahaja menggengam trofi pelakon wanita terbaik kategori drama pada Anugerah Skrin 2008 yang lalu, jika diberi pilihan dia tidak mahu anaknya itu menceburi bidang seni.
“Memang sejak hari pertama saya jaga dia lagi. Saya memang tak nak Aishah jadi penyanyi atau pelakon. Kalau boleh biarlah dia jadi doktor pakar dan boleh jaga dan rawat bila saya tua nanti,” ujar Ogy ceria.
Bakal adakan seminar dengan kiyai A’a
Menurut Ogy lagi, dalam masa yang sama juga dia sedang menyusun semula struktur syarikat produksinya, Artisctic Preview dan abangnya akan menguruskan syarikat tersebut.
“Dalam soal event management, ceramah dan sebagainya saya berkolaborasi dengan Azizan dengan syarikat Air Borne Management dan syarikat Artictic Preview.
“Kerjasama dari stesen televisyen juga senang kerana dia sudah ada nama dan merupakan tokoh terkenal di Indonesia,” kata Ogy yang pernah dikenali dengan watak Azura satu ketika dahulu.
Bagi Ogy, syarikatnya juga bakal menganjurkan satu program seminar pada bulan Februari nanti di mana kiyai A’a akan menjadi moderator bagi program tersebut.
Jelasnya lagi, pada 30 Februari ini syarikatnya akan mengadakan program berbentuk seminar tiga hari dua malam dan yuran penyertaan yang dikenakan sebanyak RM800 setiap orang dan ia terbuka kepada semua.
“Pengisian program tidak banyak ceramah tapi lebih banyak kepada stimulasi dan lebih banyak latihan stimulasi membersihkan hati.
“Bagi saya itu lebih baik kerana penyakit hati ini sulit dan tidak boleh dirawat dengan mudah. Nak elak penyakit hati kita ada cara yang sesuai seperti qiyamulail, memuhasabah diri dan membersihkan hati bagi mendekatkan diri kepada Allah.
“Salah satu sebab saya ingin bekerjasama dengan ini adalah kerana ramai dikalangan artis sebenarnya mencari aktiviti sebegini untuk kembali ke pangkal jalan," jelasnya.
Bagi Ogy sendiri dia bercakap sedemikian berdasarkan pengalamannya sendiri, hinggakan ketika itu dia pernah merasakan adakah dia seorang yang jahat dan tidak layak berubah dan berhijrah.
Namun jelas pelakon berkaliber ini apa yang dilakukannya bukan penghijrahan kali kedua tapi ini fasa kedua untuk memantapkan lagi ilmu agama dalam diri.
“Saya pun ada menyeru kepada golongan artis supaya beri peluang kepada diri sendiri untuk berubah dan sebagai manusia biasa kita tidak punya apa-apa, kerana hanya Allah yang boleh menilai diri kita.
“Kita perlu menilai diri kerana konsep kita bukan mengajar tapi mendidik hati kepada semua. Insya-Allah Amy Search dan isteri pun berminat untuk menyertai program ini nanti,”jelas Ogy.
Sementara itu ketika menemubual Ogy, penulis berpeluang menemuramah kiyai Abdullah Gymnastiar yang lebih dikenali dengan panggilan A’a. Nyata kedatangannya ke Malaysia juga punya tujuan dan matlamatnya tersendiri.
Menceritakan sedikit biografi mengenai tokoh agama ini,beliau merupakan pemegang Ijazah Kejuruteraan Elektirk di Indonesia.
Beliau yang juga dikenali sebagai ulama di negara kelahirannya, Indonesia mengetenghkan konsep penyatuan dan pembersihan hati.
“Saya percaya hanya dengan hati yang bersih kita boleh dekat dengan Allah. Dan saya perkenalkan konsep ‘Management Kalbu’ dalam ceramah saya.
“Kalau hati dijaga dengan baik.Insya-Allah peribadi kita juga akan jadi baik dan kita akan mudah mendekatkan diri dengan Allah,” kata A’a.
Ditanya apakah halangan yang pernah dihadapinya, kiyai berkata dalam apa jua yang dilakukan pasti ada halangan dan ia akan membuat kita belajar dengan mendalam dan dekat dengan Allah.
“Teknologi banyak dikuasai oleh barat maka kiblatnya juga banyak menghala ke sana. Sebagai umat Islam kita harus aktif mencari cara penyelesaian yang inovatif agar orang dapat menerima Islam dalam apa jua keadaan.
“Kunci pertamanya adalah tauhid kerana ia akan membuat kita mengenal Allah dan hati kita akan jadi tenang,” ujar A’a.
Jelasnya, untuk menghindarkan masyarakat Islam dari kiblat negara barat adalah dengan memperkenalkan kaedah Islam yang lebih mudah dipelajari dan diterima oleh masyarakat.
“Paling penting pendakwahnya perlu ikhlas dalam menyampaikan sesuatu. Tidak boleh hanya bagus di mulut namun dari sudut perbuatan dia sendiri tidak melakukannya ini tidak betul,” katanya.
- Mstar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment