01 February 2009

12 lagi kematian dicatat semalam

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Sebanyak 12 lagi kematian dicatatkan dalam Ops Sikap ke-19 di seluruh negara semalam, 10 daripadanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Angka kematian pada hari ke-12 itu menjadikan jumlah korban kini meningkat kepada 171 orang, sejak Ops Sikap ke-19 dilancarkan pada 19 Januari lalu.

Selain penunggang dan pembonceng motosikal, dua lagi kematian semalam membabitkan pemandu dan penumpang kereta.

Penguasa Perhubungan Awam, Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Supritendan Rasdi Ramli berkata, sebanyak 956 kemalangan dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, 416 kemalangan berlaku di jalan bandaran, jalan Persekutuan (222), jalan negeri (168), lebuh raya (99) dan jalan-jalan lain (51).

"Semalam, polis mengeluarkan sebanyak 9,284 saman di seluruh negara membabitkan pelbagai kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ops Sikap ke-19 yang dijalankan serentak di seluruh negara sempena Tahun Baru Cina berakhir pada Isnin ini. - Utusan

* Mustahilkah rakyat Malaysia, semua mampu memiliki kereta? Jika itu dapat mengurangkan jumlah kematian setiap hari yang umpama medan perang.

No comments:

Post a Comment