20 January 2009

Tiga penjenayah ditembak mati

KAJANG 19 Jan. – Tiga penjenayah paling dikehendaki termasuk ketua geng Ronau kerana terlibat dalam banyak kes samun, pecah rumah dan rogol, ditembak mati berdekatan plaza tol Sungai Ramal di sini awal pagi ini.

Polis turut merampas sepucuk pistol .38 jenis revolver, pisau kecil dan beberapa peralatan untuk melakukan samun serta pecah rumah dalam kejadian itu.

Ekoran kejayaan itu, polis percaya telah menyelesaikan lebih 50 kes samun dan pecah rumah di tujuh negeri iaitu Melaka, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 27 hingga 40 tahun itu dikesan oleh sepasukan polis di Salak Selatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ketiga-tiga mereka kemudian bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Waja sehingga ke plaza tol Sungai Ramal.

Beliau berkata, sebaik tiba di kawasan plaza tol berkenaan, polis cuba memintas kereta itu tetapi suspek telah melepaskan tembakan.

“Kita telah melepaskan enam das tembakan bagi mempertahankan diri dan mengenai ketiga-tiga suspek berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Tambah Khalid, siasatan mendapati kereta yang digunakan oleh penjenayah berkenaan merupakan kereta curi yang telah dilaporkan hilang di Balai Polis Pudu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Khalid berkata modus operandi geng tersebut ialah mereka akan memakai dua helai baju sebelum melakukan kegiatan pecah rumah.

“Jika mereka hendak memecah masuk sesebuah rumah, mereka akan membuka baju lapisan luar dan hanya memakai baju lapisan dalam.

“Kita juga percaya mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan berpindah randah selepas melakukan sesuatu jenayah,” katanya.

Beliau berkata, mereka dikehendaki untuk kes-kes samun di tujuh negeri termasuk satu kes rogol di Johor pada tahun lalu.

Khalid berkata, terdapat beberapa ahli geng itu yang masih bebas dan pihaknya sedang giat menjalankan operasi mengesan mereka. - Utusan

No comments:

Post a Comment