KUALA TERENGGANU 4 Jan. — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 143 saluran di 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan ini.
Timbalan Setiausaha (Operasi) SPR, Datuk Noordin Che Ngah berkata jumlah pengundi berdaftar yang direkodkan untuk pilihan raya kecil itu ialah seramai 80,229 orang berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 iaitu 80,325 pengundi.
“Ia dilihat berkurangan sedikit disebabkan faktor kematian dan pertukaran alamat yang telah kita kemas kini,” katanya kepada pemberita ketika majlis taklimat bersama media di sini hari ini.
Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Wakaf Mempelam yang mempunyai 20,629 pengundi berdaftar, Bandar (18,833), Ladang (16,780) dan Batu Buruk (23,987).
Katanya daftar pemilih bagi kawasan Parlimen itu telah diwartakan pada 5 Dis lepas.
Penamaan calon ditetapkan Selasa ini.
Noordin berkata bagi melancarkan perjalanan pilihan raya itu nanti, SPR juga menempatkan sebanyak 881 petugas di pusat-pusat mengundi.
“Sebanyak 881 orang itu adalah orang tempatan yang diambil daripada kalangan kakitangan kerajaan dan mereka juga merupakan pengundi bagi undian secara pos,” katanya.
Beliau berkata daripada 80,229 pengundi, 1,035 orang adalah pengundi pos yang terdiri daripada anggota tentera, polis dan petugas SPR.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment