23 January 2009

PPSMI: Pemimpin BN pamer sikap sombong


KUALA TERENGGANU, 22 Jan (Hrkh) - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengatur pelbagai program bagi menjelaskan isu pengajaran pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kepada masyarakat.

Setiausaha Agungnya, Khairul Anwar Shazali, 25 berkata, PKPIM sebelum ini telah membuat kajian secara menyeluruh di seluruh negara mengenai keberkesanan pelaksanaan PPSMI.

"Melalui kajian tersebut, kami dapati pelajar yang berada di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak masih berada di tahap mundur dan mereka tidak boleh dibebankan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran subjek Sains dan Matematik," ujar beliau ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut beliau sekiranya kerajaan meneruskan dasar tersebut, PKPIM merasakan orang Melayu akan terus ketinggalan dalam subjek yang kritikal.

Beliau juga memberitahu program bagi mengumpul tanda tangan sehingga 100,000 sebagai memprotes tindakan kerajaan akan dilaksanakan Mac hingga Mei depan.

Pengerusi Pendidikan PKPIM, Abu Qassim Nor Azmi, 23 berkata, tindakan kerajaan yang membakul sampahkan segala memorandum yang dihantar NGO dan ahli akademik merupakan tindakan yang tidak wajar.

"Sekiranya kerajaan tidak mengira pandangan dan sungutan rakyat, nescaya satu hari nanti mereka akan jatuh juga kerana rakyat," katanya.

Beliau berharap dengan adanya suara pembangkang di Dewan Rakyat, mereka dapat memainkan peranan penting bagi menyampaikan hasrat Gerakan Mansuh PPSMI bagi membatalkan dasar PPSMI.

"PKPIM bersama Gerakan Mansuh PPSMI sentiasa konsisten dalam menyuarakan hasrat rakyat yang tidak ingin melihat bahasa Melayu dihina dan dirobekkan," ujar beliau.

Sementara itu, Naib Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI, Dr Shahril Mohamad Zin berkata kesanggupan Pakatan Rakyat menerima memorandum bantahan tersebut amat dihargai rakyat negara ini.

Sedangkan kerajaan di bawah BN masih bersikap sombong dan menghina NGO terbabit.

Menurutnya Gerakan Mansuhkan PPSMI akan berusaha menyatukan persatuan dan badan bukan kerajaan sebelum menyerahkan pelbagai memorandum bantahan kepada kerajaan.

"Saya amat kesal kerana kerajaan sehingga kini tidak membuat keputusan yang sewajarnya walaupun sudah banyak NGO dan ahli akademik membantah penggunaan bahasa Inggeris bagi mengajar Sains dan Matematik," ujar beliau. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment