24 January 2009

Perogol minta tambang

Pemandu perkosa gadis tangan bergari dalam teksi, cuba langgar bapa saudara mangsa

PETALING JAYA: Bukan hanya trauma selepas perawannya diragut, seorang gadis mangsa rogol pemandu teksi bernafsu haiwan itu juga dikatakan tergamam dan hanya mampu menjerit sekuat hati apabila bapa saudara yang datang untuk menyelamatkannya nyaris maut dilanggar pemandu teksi itu.

Lebih menyeksakan, apabila tangan mangsa turut digari ketika dirogol.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, mangsa berusia 28 tahun yang baru tamat waktu bekerja di pejabatnya di Bandar Utama, di sini, dikatakan menahan sebuah teksi untuk pulang.

Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa terus menaiki teksi dipandu seorang lelaki berusia 30-an. Bagaimanapun mangsa mula gelisah berikutan teksi berkenaan menghala ke sebuah kawasan gelap dan sunyi.

Wanita itu bukan hanya digari dan dirogol, malah dipukul dan selepas itu dihantar pulang ke rumahnya di Seksyen 17, di sini.

Menurut sumber, mangsa bagaimanapun tidak terus dilepaskan apabila suspek turut mengarahkannya membayar tambang teksi berkenaan.

“Menyedari peluang yang ada, mangsa membuat helah untuk masuk ke rumah bagi mendapatkan wang bagi menjelaskan tambang teksi.

“Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah, mangsa yang ketakutan terus mengadu hal berkenaan kepada bapa saudaranya berusia 41 tahun yang kemudian meluru ke arah teksi berkenaan untuk menahan suspek,” katanya.

Menyedari kejadian itu, suspek yang panik kemudiannya melawan menyebab berlakunya pergelutan dan pemandu itu cuba melanggar bapa saudara mangsa.

Difahamkan, suspek turut melanggar beberapa lagi kenderaan yang diletakkan di tepi jalan ketika melarikan diri.

Berdasarkan maklumat daripada mangsa, suspek turut menyimpan sebilah pisau serta memiliki jaket yang tertera lambang polis dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Mangsa sudah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 307 dan 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

“Kami juga sedang giat memburu pemandu teksi berkenaan sejurus menerima laporan yang dibuat mangsa,” katanya.

Siasatan polis sehingga kini berjaya mengenal pasti jenis kenderaan yang digunakan suspek dan sedang giat memburunya. Mymetro

* Jenayah banyak bila kerajaan lemah

No comments:

Post a Comment